AMK gesa 18 individu dikaitkan dengan pengkhianat parti dipecat

Ahmad Syukri (tiga dari kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil Unit Lembaga Disiplin, Julailey Jemadi.
Ahmad Syukri (tiga dari kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil Unit Lembaga Disiplin, Julailey Jemadi.
A
A
A

PETALING JAYA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan memorandum bagi mendesak 18 individu yang dikaitkan dengan pengkhianat parti dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Lembaga Disiplin dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebagai gesaan kepada pemimpin parti bertindak lebih tegas terhadap saki-baki pengkhianat.

Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, pihaknya mempunyai cukup bukti bagi menyokong dakwaan memorandum itu, selain sedia bekerjasama dan memberi bukti tambahan kepada Lembaga Disiplin jika diperlukan.

“Jelas, mereka dari awal lagi sering melakukan komplot pintu belakang dengan bekas Timbalan Presiden PKR (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali). Mereka memberi kenyataan bercanggah dengan pendirian parti.

“Mereka sering memberi ucapan selamat bila Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dikecam. Kita serah kepada Lembaga Disiplin dan meminta beberapa orang ini mesti dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya enggan mendedahkan senarai 18 individu terbabit.

Ahmad Syukri berkata, gesaan itu juga bertujuan membersihkan parti daripada anasir-anasir khianat yang turut menjadi punca tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Menurutnya, pembelotan segelintir anggota PKR baru-baru ini sebenarnya sesuatu yang sudah dijangka apabila individu terbabit dilihat sering meletakkan parti dalam posisi yang sukar.

Artikel Berkaitan:

“Kita hormat pendirian Presiden, sikap jiwa besar dan pemaaf Presiden sudah tidak lagi kena pada tempat dan sesuai dengan masanya.

"Jika kita berjiwa besar seolah-olah kita membenarkan pengkhianatan ini boleh ditoleransikan," katanya.