Indonesia jadi tapak uji kajian vaksin tibi tajaan Bill Gates

JAKARTA – Indonesia bakal menjadi antara lokasi utama bagi ujian klinikal vaksin penyakit tuberkulosis (tibi) yang sedang dibangunkan oleh pengasas Microsoft dan tokoh dermawan terkenal, Bill Gates.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, selepas pertemuan beliau bersama Bill Gates di Istana Negara, Jakarta pada Rabu.
“Beliau kini sedang giat membangunkan vaksin tibi untuk kegunaan seluruh dunia, dan Indonesia telah dipilih sebagai antara negara tempat uji kaji vaksin tersebut,” kata Prabowo.
Menurut beliau, penyakit tibi masih menjadi ancaman utama kepada kesihatan rakyat Indonesia apabila mencatatkan hampir 100,000 kematian setiap tahun.
“Ini menjadi tekad kami untuk mengurangkan jumlah kematian akibat tibi, dan beliau (Bill Gates) menunjukkan komitmen padu untuk terus membantu kami dalam usaha ini,” ujarnya.
Tambah Prabowo lagi, Bill Gates juga telah membangunkan vaksin bagi penyakit malaria dan terus menunjukkan sokongan dalam memerangi penyakit berbahaya di peringkat global.
“Saya maklumkan kepada beliau bahawa kita menghargai segala usaha dan komitmen beliau untuk membantu kita mengawal penyakit-penyakit berbahaya ini,” katanya.
Terdahulu, Bill Gates turut mengumumkan pemberian geran berjumlah ASD159 juta (RM674juta) kepada Indonesia bagi pelbagai inisiatif kesihatan dan pembangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

