Warga Thailand didakwa liwat pelajar

Seorang warga Thailand yang bekerja di sebuah rumah ibadat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas tuduhan meliwat pelajar berusia 13 tahun.
Seorang warga Thailand yang bekerja di sebuah rumah ibadat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas tuduhan meliwat pelajar berusia 13 tahun.
A
A
A

MELAKA - Seorang warga Thailand yang bekerja di sebuah rumah ibadat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas tuduhan meliwat pelajar berusia 13 tahun.

Tertuduh yang juga guru agama di Bukit Rambai, Malkan Maha,28, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa yang berusia 13 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Solok Setulang Daing, Bukit Rambai di sini, antara jam 10 hingga 11 malam, 20 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon tarikh sebutan baharu dan memohon syarat tambahan terhadap tertuduh termasuk tidak mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran.

Tertuduh diwakili peguam L Sharveen merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya memperolehi pendapatan RM1,500 sebulan sebagai guru tahfiz.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri setiap 1 haribulan di balai polis berhampiran serta menetapkan 10 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 23 April lalu melaporkan lelaki warga Thailand direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes meliwat dan mencabul seorang kanak-kanak lelaki.

Sumber berkata, perbuatan jijik suspek didakwa terbongkar selepas mangsa yang kini berusia 13 tahun menceritakan perbuatan jahat suspek kepada ibunya berusia 35 tahun ketika menghubungi wanita itu pada minggu lalu.

Menurutnya, mangsa secara tiba-tiba memberitahu mahu pulang dan menetap bersama wanita tersebut di Kuala Lumpur kerana mendakwa tidak sanggup terus menerus menjadi hamba liwat suspek yang juga guru agamanya sejak berusia 10 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!