Ramai pemaju di Melaka dikesan gagal isytihar projek - CIDB

Sebahagian pekerja warga asing yang sedang disemak dokumen pekerjaan mereka ketika operasi bersepadu di tapak projek di Batu Berendam, Melaka pada Selasa.
Sebahagian pekerja warga asing yang sedang disemak dokumen pekerjaan mereka ketika operasi bersepadu di tapak projek di Batu Berendam, Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengesan kesalahan kegagalan mengisytiharkan projek di bawah Sistem Pengurusan Industri Pembinaan (CIMS) paling banyak dilakukan pemaju di Melaka dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengurus Besarnya, Mohammad Farris Abdul Aziz berkata, ia terbukti apabila sebanyak 157 notis telah dikeluarkan dan daripada jumlah itu sebanyak 64 kertas siasatan dibuka dengan majoriti kes melibatkan kegagalan mengisytiharkan projek.

Mohammad Farris
Mohammad Farris

Malah menurutnya, sebanyak 121 tapak binaan telah diperiksa membabitkan 170 kontraktor dengan 82 daripadanya telah dikenakan kompaun.

"Pemeriksaan yang dijalankan meliputi akreditasi, bahan binaan, personel binaan, kontraktor serta pengisytiharan projek.

"Dalam tempoh itu sebanyak 34 kes kesalahan di bawah Akta 520 direkodkan dan kes kegagalan mengisytihar projek mencatat peratusan tertinggi iaitu 47.06 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas mengetuai operasi bersepadu di tapak projek di Batu Berendam di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara kesalahan lain yang dikesan termasuk menggaji pekerja binaan mahir tanpa akreditasi (29.69 peratus) dan personel binaan tidak berdaftar (10.94 peratus).

Ujarnya, hingga kini seramai 4,057 kontraktor yang berdaftar, pekerja binaan am (28,367 orang), pekerja binaan mahir (2,757 orang), pengurus projek binaan (2,874 orang) serta 242 penyelia binaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada tahun ini sebanyak 1,578 projek telah diisytiharkan dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.6 bilion.

"Kita menyarankan mana-mana kontraktor mahupun sub kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan perlu mematuhi segala syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan, " katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!