Kanak-kanak 12 tahun ditemukan lemas dalam kolam buatan di Putrajaya

Anggota bomba dan petugas KKM memeriksa keadaan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dipercayai lemas dan tidak sedarkan diri dalam kolam buatan di Presint 17, Putrajaya pada Isnin. Foto: JBPM.
Anggota bomba dan petugas KKM memeriksa keadaan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dipercayai lemas dan tidak sedarkan diri dalam kolam buatan di Presint 17, Putrajaya pada Isnin. Foto: JBPM.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang ditemukan lemas dan tidak sedarkan diri dalam kolam buatan di Presint 17, di sini pada Isnin meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa meninggal dunia di Hospital Putrajaya jam 6.20 petang.

"Proses bedah siasat akan dijalankan pada esok (Selasa) jam 8.00 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya menerima makluman awal daripada orang awam jam 5.12 petang menyatakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun disyaki lemas dalam kolam buatan di Presint 17, berdekatan jejambat Presint 17 menghala Apartmen Kasturi.

Kata beliau, kanak-kanak lelaki tersebut berjaya dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:


"Pemeriksaan telah dijalankan oleh doktor bertugas dan mengesahkan kanak kanak tersebut telah meninggal dunia," ujarnya.

Sebelujm itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Wilayah Persekutuan Putrajaya, TPgB II Yusrizan Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.17 petang yang menyatakan seorang kanak-kanak lemas dalam kolam tersebut, berhampiran jejambat Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi.

Beliau berkata, susulan itu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Presint 14 telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setiba di lokasi kejadian jam 5.20 petang, pasukan operasi mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun telah lemas di dalam kolam buatan.

"Mangsa juga berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pasukan penyelamat telah mengenakan jaket keselamatan dan turun ke dalam kolam bagi menyelamatkan mangsa," katanya.

Kata beliau, anggota penyelamat berjaya membawa naik mangsa ke darat dan menyerahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya, agensi yang turut sama berada di lokasi kejadian adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!