Kanak-kanak 11 tahun cedera ditikam bapa

PASIR MAS – [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai cedera ditikam oleh bapanya yang merupakan seorang guru, dalam kejadian di Kampung Banggol Che Dol di sini, pada Jumaat.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi, melibatkan lelaki berusia 40-an yang didakwa mempunyai masalah mental.
Mangsa, anak bongsu daripada enam beradik itu, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu selepas dipercayai ditikam di bahagian perut oleh bapanya.
Moyang mangsa, Mohd Yusof Sulaiman, 77, berkata, dia tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar bertemu rakan di sebuah kedai kopi berhampiran.
"Semasa saya pulang ke rumah yang terletak bersebelahan, saya lihat cucu duduk di tangga rumah. Tak lama kemudian, anggota polis tiba.
"Dari situlah saya tahu cicit saya telah ditikam oleh bapanya. Setahu saya, mereka sekeluarga baru pulang ke rumah pagi ini selepas bermalam di rumah anak saya yang juga ibu kepada cikgu berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Menurut warga emas itu, dia masih terkejut dengan kejadian tersebut kerana keluarga itu baru sahaja berpindah ke sebelah rumahnya sejak tahun lalu.
Sementara itu, seorang penduduk kampung dikenali sebagai Ahmad berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas melihat mangsa yang berlumuran darah dibawa keluar oleh datuknya.
Katanya, mangsa dibawa dengan motosikal ditunggang datuknya sambil bersandar pada dada bapa saudaranya yang turut membonceng, menuju ke hospital.
“Tiada sebarang bunyi bising dari rumah mereka sebelum kejadian. Suspek yang bekerja sebagai guru baru setahun menetap di sini kerana sebelum ini mengajar di Pahang dan isterinya juga seorang guru,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes tersebut.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

