Empat ADUN Bersatu sokong PH jumpa MB Selangor esok

Gambar dari kiri: Mohd Shaid Rosli, Harumaini Omar, Sallehudin Amiruddin, Adhif Syan
Gambar dari kiri: Mohd Shaid Rosli, Harumaini Omar, Sallehudin Amiruddin, Adhif Syan
A
A
A

SHAH ALAM - Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan kekal bersama Pakatan Harapan (PH) di negeri ini dijadualkan bertemu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari petang esok.

ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, pertemuan itu dijangka diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor pada jam 3.30 petang.

Menurutnya, pertemuan itu dibuat bagi menzahirkan sokongan empat ADUN daripada parti itu yang kekal teguh menyokong kepimpinan PH di Selangor.

"Kita menyokong komponen PH di negeri ini tapi terpulang kepada Menteri Besar sama ada bersetuju atau pun tidak," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shaid berkata, pihaknya tidak ada masalah menyokong PH selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad petang tadi.

"Kita hendak maklumkan sahaja hasil perbincangan itu dan hendak melihat bagaimana penerimaan komponen PH.

"Kalau kita tengok di Kedah, kerajaan negeri sedia ada masih tidak berubah dan dipimpin Bersatu," katanya.

Sebelum ini, empat daripada lima ADUN Bersatu isytihar berpendirian menyokong kerajaan PH di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Selain Mohd Shaid, tiga lagi ADUN ialah Sallehudin Amiruddin (Kuang), Harumaini Omar (Batang Kali) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).