5,256 jemaah haji Malaysia sudah tiba di Tanah Suci

MAKKAH – [DIKEMS KINI] Seramai 5,256 jemaah haji sudah berada di Tanah Suci melibatkan 4,419 jemaah di Madinah manakala selebihnya di Makkah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, seramai 253 jemaah penerbangan KT001 ditempatkan di Hotel Abraj Al Jenadria, penerbangan KT002 di Land Premium (328 jemaah) manakala 256 jemaah daripada penerbangan KT003 ditempatkan di Abraj Al Tayseer
“Alhamdulillah operasi haji tahun ini yang bermula 29 April lalu berjalan dengan lancar di tanah air dan juga di Tanah Suci.
“Setakat ini 19 daripada keseluruhan 100 penerbangan bagi musim haji 1446H/2025M telah mendarat di Madinah,” katanya ketika sidang akhbar di Abraj Al Jenadria di sini pada Isnin.
Beliau berkata, 47 penerbangan membawa jemaah haji ke Madinah manakala 53 penerbangan lagi akan mendarat di Jeddah dan jemaah terus dibawa masuk ke Makkah.
Dalam pada itu beliau berkata, kumpulan jemaah yang tiba di Makkah pada Ahad malam waktu tempatan sudah menunaikan ibadah umrah masing-masing.
Tambahnya, tiga lagi kumpulan jemaah haji akan tiba secara berperingkat pada Isnin.
“Alhamdulillah setakat ini pergerakan jemaah haji berjalan dengan baik. Kita mohon jemaah haji dan juga waris-waris yang ada di Malaysia untuk mendoakan supaya operasi haji tahun ini akan berjalan dengan lancar.
“Tabung Haji telah merangka pelbagai program untuk jemaah termasuk aktiviti bimbingan bagi mengisi masa sebelum berwukuf di Arafah,” katanya.
Beliau sebelum itu meminta jemaah haji yang bermiqat di Bir Ali supaya lebih berhati-hati berikutan kawasan berkenaan sedang menjalani pengubahsuaian dan berlaku kerja-kerja penyelenggaraan.
“Terdapat bahan-bahan binaan di kawasan sekitarnya jadi saya harap supaya jemaah haji lebih berhati-hati ketika berada di sana.
“Saya juga ingin ingatkan sekali lagi supaya jemaah haji sama ada berada di Madinah atau Makkah sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

