Enam cedera nahas babit bas ekspres, 2 treler dan MPV

MERSING - Enam mangsa cedera manakala 46 lagi terselamat dalam nahas empat kenderaan melibatkan sebuah bas ekspres, dua treler dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Jemaluang, Risda Sungai Ambat, di sini awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Samsuri Shafai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas berkenaan pada jam 5.38 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit perkhidmatan perawatan, penyelamatan, kecemasan (EMRS) dan satu pacuan empat roda Nissan Navara dengan lapan anggota yang turut di sertai Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar telah dihantar ke tempat kejadian sejauh 31 kilometer (KM).
"Setibanya ke tempat kejadian pada jam 6.04 pagi, didapati nahas terbabit melibatkan dua treler, sebuah bas ekspress dan sebuah MPV jenis Perodua Alza.
“Empat mangsa daripada MPV Perodua Alza cedera, terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita termasuk pemandunya yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas," katanya.
Beliau berkata, dua pemandu treler turut mengalami kecederaan manakala semua 46 penumpang bas dilaporkan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
