Lelaki maut dirempuh, seorang cedera nahas lima kenderaan

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut, sementara seorang lagi cedera ketika cuba membantu dalam nahas membabitkan dua motosikal dan tiga kereta di Kilometer (KM) 1.6 Lebuhraya Utara-Selatan hala ke pusat bandar, awal pagi Isnin.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Azrul Hisham Mohd Shaffei, insiden tersebut dipercayai berlaku pada jam 6.25 pagi ketika mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun, menunggang motosikal jenis Honda Wave dari Kempas menuju ke Johor Bahru.
Katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan terjatuh di lorong kanan lebuh raya tersebut.
"Selepas itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha XMAX serta pemandu kereta Toyota Vios berhenti di lorong kanan dan tengah untuk membantu mangsa.
"Bagaimanapun, kereta Toyota Vios itu kemudiannya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Honda City.
"Ketika kedua-dua pemandu kereta berusaha mengalihkan kenderaan mereka ke hadapan, sebuah SUV (kenderaan utiliti sukan) jenis Subaru Impreza yang dipandu seorang lelaki warga Singapura gagal mengelak lalu merempuh mangsa (penunggang Honda Wave) yang terbaring di atas jalan selain turut melanggar penunggang Yamaha XMAX, kereta Toyota Vios, dan Honda City yang terlibat," katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang Yamaha XMAX cedera patah kaki kanan dan kini menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Kesemua pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis meminta mana-mana saksi awam yang melihat kejadian supaya tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!