Tiada lagi aksi liga domestik di Stadium Nasional Bukit Jalil

Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto: 123rf
Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto: 123rf
A
A
A

PERTEMBUNGAN Selangor dan Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini akan menjadi perlawanan terakhir di venue itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu sebagai usaha MFL selaku badan pentadbir Liga-M untuk memelihara prestij stadium berkenaan sebagai gelanggang rasmi pasukan kebangsaan.

Beliau berkata, hanya perlawanan Liga-M 2020 membabitkan, masing-masing aksi final Piala Malaysia dan Piala FA sahaja dibenarkan untuk menggunakan stadium yang mampu memuatkan lebih 80,000 penonton itu.

"MFL ingin memberi peringatan bahawa ini merupakan kelulusan kali terakhir bagi mana-mana pasukan dalam Liga-M untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Selepas ini Stadium Nasional Bukit Jalil hanya dibenarkan untuk pengelolaan perlawanan akhir Piala Malaysia, Piala FA dan perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, MFL meluluskan permohonan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang alternatif berikutan Stadium Shah Alam berdepan isu keselamatan susulan kerosakan bumbung di venue berkenaan.

Pada masa sama, Ab Ghani mengingatkan kesemua pasukan bertanding supaya lebih bersedia dalam persiapan menyediakan venue utama pasukan pada masa akan datang.

"Saya berharap isu ini akan memberi kesedaran lebih tinggi kepada kesemua pasukan iaitu pasukan perlu bergerak lebih proaktif untuk meneliti tahap keadaan stadium yang didaftarkan oleh mereka dari segi keselamatan, keselesaan, kemudahan, keadaan padang dan sebagainya sebelum memanggil MFL turun melakukan pemeriksaan venue," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, MFL turut meluluskan permohonan PJ City FC untuk menggunakan Stadium UiTM Shah Alam sebagai venue alternatif mereka untuk perlawanan menentang Pahang pada aksi Liga Super esok selepas Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga tidak mendapat kelulusan. - Bernama