Legasi 28 tahun Puncak Niaga
BERMULA dari sebuah syarikat pengurusan air dan air sisa, Puncak Niaga Sdn Bhd mengorak langkah menjadi jenama konglomerat terkemuka yang kini terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan.
Ditubuhkan pada Januari 1997 oleh Tan Sri Rozali Ismail, Puncak Niaga merupakan manifestasi kerja keras dan pengorbanan anak Felda Gedangsa, Hulu Selangor yang bercita-cita tinggi mengubah nasib diri dan keluarga.
Segalanya bertitik tolak daripada konsesi yang diberikan kerajaan Selangor untuk mengurus dan mengendalikan loji rawatan air pada tahun 1994.
Dari situ Puncak Niaga tidak lagi menoleh ke belakang dan terus berkembang dan mengambil alih lebih banyak loji rawatan air.
Berikutnya pada tahun 2004, anak syarikat Puncak Niaga, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mendapat hak eksklusif mengurus pengagihan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di bawah teraju Rozali yang berpengalaman dalam pelbagai bidang antaranya perbankan Islam dan undang-undang, Puncak Niaga yang turut tersenarai di Bursa Malaysia terus melebarkan sayap dalam sektor minyak dan gas pada 2012 melalui Puncak Oil & Gas Sdn Bhd.
Namun cabaran besar tiba apabila kerajaan negeri Selangor mengambil alih aset dan operasi rawatan dan pembekalan air melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad) sebagai sebahagian daripada penyusunan semula industri air.
Kehilangan konsesi air tersebut bagaimanapun tidak menghalang Puncak Niaga mengekalkan industri air dan pembetungan sebagai teras utama perniagaan, sebaliknya ia terus beradaptasi dengan perubahan dan pada masa sama mencari peluang baharu untuk kekal relevan.
Dalam wawancara khas bersama Sinar Harian, Rozali berkongsi perkembangan terbaharu, Puncak Niaga yang menjengah usia 28 tahun meneroka beberapa bidang baharu antaranya pengurusan fasiliti dan perladangan sebagai perniagaan sokongan.
Untuk rekod, Puncak Niaga mempunyai ladang sawit seluas 46,674 hektar di Sarawak.
Tidak terhenti di situ, syarikat itu turut mengembangkan perniagaan dalam bidang pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti.
Puncak Niaga juga telah diberikan kepercayaan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membina kampus UiTM Puncak Alam yang melibatkan beberapa buah fakulti dan kolej kediaman yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM1.38 bilion secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Puncak Niaga seterusnya dianugerahkan konsesi penyelenggaraan kampus tersebut selama 20 tahun.

Berdasarkan rekod prestasi yang cemerlang, Puncak Niaga sekali lagi diberi kepercayaan oleh KPT untuk membina hospital pengajar di UiTM Puncak Alam termasuk membekal peralatan perubatan dengan kos RM599 juta melalui PFI.
Meskipun berdepan dengan pandemik Covid-19, Puncak Niaga berjaya menyiapkan Hospital UiTM di Puncak Alam mengikut jadual, malah turut diberi kepercayaan mengurus dan menyelenggara fasiliti tersebut selama 22 tahun.
Jelas, Puncak Niaga tidak sekadar duduk diam walaupun lama tidak muncul di arus media, buktinya hingga kini ia masih berpegang teguh dengan visi untuk menjadi peneraju serantau dalam penyediaan penyelesaian bersepadu bagi perkhidmatan air, air sisa dan alam sekitar selain terlibat dalam pelbagai sektor baharu.
Lebih mengujakan, seiring dengan amalan patuh syariah yang menjadi pegangan Puncak Niaga dalam menjalankan operasi, pihaknya turut mengintai peluang perniagaan di peringkat Asia dalam sektor pembekalan produk halal.
Menurut Rozali, perbincangan sedang dilakukan dengan sebuah syarikat dari Korea Selatan untuk Puncak Niaga menjadi pembekal produk halal mereka di Malaysia.
Jika kolaborasi ini terlaksana kelak, ia menandakan satu lagi pencapaian penting di mana Puncak Niaga menceburi sektor peruncitan untuk produk-produk halal yang sememangnya mempunyai pasaran besar dan menguntungkan.
Namun pada masa sama, Rozali mengakui tidak mudah untuk menjalankan perniagaan dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar.
Menurut Rozali, 68, mengemudi sesebuah bahtera perniagaan amat memerlukan pendekatan interaktif dan pemikiran kreatif.
Ini kerana bisnes kini bersifat global, segmen lokal dan antarabangsa tidak dapat dipisahkan dan pemain industri perlu melihat bukan sahaja senario perniagaan di Malaysia.
Mengambil contoh pertukaran pentadbiran Amerika Syarikat baru-baru ini yang menyaksikan Donald Trump mengenakan pelbagai tarif terhadap negara tertentu.
Kata Rozali, walaupun ia tidak memberi kesan secara langsung kepada Puncak Niaga dalam skala besar namun kesan tidak langsung terhadap kos bahan mentah, rantaian bekalan dan ekonomi Malaysia boleh menjejaskan operasi syarikat.
Justeru, strategi penyesuaian seperti mendapatkan bahan mentah daripada sumber alternatif dan meneroka pasaran baharu perlu diambil bagi mengurangkan impak negatif.
Bagaimanapun, Rozali percaya dengan berpegang teguh kepada prinsip kerja keras dan tidak kenal erti jemu serta putus asa segala kesukaran boleh diatasi.
Buktinya, sebagai sebuah syarikat yang telah beroperasi lebih dua dekad, Puncak Niaga menerima banyak pengiktirafan dalam dan luar negara atas kejayaan dicapai.
Malah beliau sendiri menerima banyak anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa atas ketokohan dan kepimpinannya menerajui Puncak Niaga.
Antara anugerah diperoleh termasuk Entrepreneur of The Year di Asia Corporate Excellence and Sustainability Award (ACES) 2022, Be A Legend Award di The Bizz Hyprid Awards – Europe 2023, Best Enterprise/Manager of The Year oleh Academic Union Oxford (AUO) dan Masterclass CEO of the Year (MEBA) pada tahun 2024.
Terkini, di bawah kepimpinan beliau, Puncak Niaga mendapat pengiktirafan antarabangsa The Brandlaureate Best Brand Award 2024-2025 dalam kategori Brand of The Year, Sustainability Leadership in Water & Environmental Solutions.
Selain itu, beliau juga mendapat liputan dalam media antarabangsa iaitu World Finance pada tahun 2010 dan The European pada tahun 2013.
Sebagai pemimpin organisasi, Rozali melihat misi masa depan untuk mengekalkan Puncak Niaga yang dibinanya dengan susah payah sebagai sebuah syarikat bumiputera yang berjaya.
Justeru, beliau meletakkan harapan tinggi agar generasi berikutnya dapat menyambung legasi kegemilangan syarikat yang bermula dari kosong hingga akhirnya menjadi perniagaan multi bilion.
Kata Rozali, kepimpinan berkualiti ditambah pekerja yang cekap serta kerjasama berpasukan yang baik adalah resipi untuk syarikat terus berdaya saing dan berkembang.
Tidak ketinggalan, perkembangan tren teknologi seperti digitalisasi dan kecerdasan buatan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan memacu pertumbuhan syarikat.
Akhir bicara, Rozali turut menitipkan pesan kepada golongan muda agar melengkapkan diri dengan ilmu secukupnya jika ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan yang penuh tantangan.
Rozali tak betah duduk di rumah
Berkecimpung lebih dua dekad dalam dunia perniagaan yang menuntut dedikasi, disiplin dan kesabaran amat tinggi.
Tan Sri Rozali Ismail mengakui masih belum tiba masa untuk beliau berehat sepenuhnya daripada kerjaya yang dicintai.
“Kalau ditanya, saya tidak boleh berhentilah rasanya, walaupun sepatutnya saya sudah boleh berehat. Kalau hanya duduk di rumah dan tidak pergi ke pejabat membuat kerja,saya rasa akan cepat sakit.
“Walaupun kadang-kadang tiada keperluan untuk saya ke pejabat, saya tetap mahu pergi,” kongsinya.
Ternyata, beliau masih belum puas mahu mencurah ilmu, kudrat dan tenaga dalam perniagaan yang dibina hasil titik peluh sendiri sehingga mampu mencipta reputasi sebagai salah satu bisnes paling berjaya di Malaysia.
Rozali turut mengenang kembali segala pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi membina dan membangun Puncak Niaga dan perusahaan lainnya, beliau amat berterima kasih kepada isteri dan keluarga tercinta yang sentiasa menjadi penyokong paling setia.
“Saya memulakan perniagaan ini dari ia kecil hingga menjadi perniagaan multi bilion namun harga pengorbanan yang perlu saya bayar juga tinggi.
“Jika saya melihat kembali usaha selama ini, saya akan memberitahu ibu bapa, saya amat gembira kerana dengan kesusahan yang diajar banyak membentuk keperibadian menjadi insan yang kuat, tidak kenal erti jemu dan kegagalan.
“Sesungguhnya, kepuasan dalam hidup adalah mencapai apa yang kita cita-citakan dengan izin ALLAH,” katanya.
Sementara itu, seiring waktu dan usia yang berjalan, Rozali kini boleh menghela nafas lega dengan kebolehan anak lelaki beliau, Azlan Shah yang bertanggungjawab selaku Pengarah Urusan Puncak Niaga sekali gus bakal menjadi penerus legasi perniagaan Rozali.
“Semua ahli perniagaan yang meningkat usia akan menyerahkan kepada generasi seterusnya, ini juga harapan saya agar anak-anak dapat mengambil alih perniagaan dengan baik dibantu oleh kakitangan yang ada,” katanya lagi.
Pastinya gabungan pengalaman dan kepakaran Rozali dalam pelbagai bidang berkepentingan serta kepimpinan muda yang dinamik mampu meletakkan syarikat di landasan terbaik untuk terus berkembang maju di masa depan.
Tidak ketinggalan, Rozali berkata, untuk sesebuah syarikat itu berjaya ia amat memerlukan dasar kerajaan yang mesra perniagaan dan mesra pelaburan asing.
Justeru, simbiosis antara komuniti bisnes dan dasar kerajaan harus bergerak seiring demi memastikan perusahaan dapat bertahan lama dan mengembangkan potensinya ke tahap lebih tinggi.
“Apa sahaja langkah kerajaan akan memberi kesan kepada perniagaan, sebab itu kita mahu kerajaan mengadakan dialog dengan komuniti bisnes, mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya, kerana perniagaan adalah penggerak utama kerajaan dan ekonomi negara.
“Kerajaan juga mesti menjaga komuniti bisnes kerana pada akhirnya kerajaan yang akan mengutip hasil pendapatan dan perniagaan yang membayar gaji pekerja sekali gus menggerakkan ekonomi,” katanya.
Akhirnya, pengajaran dari kisah kejayaan Rozali bermula dari seorang anak peneroka Felda yang hidup serba kekurangan kepada usahawan sukses di dalam dan luar negara membuktikan kemiskinan bukan alasan untuk tidak mencapai cita-cita.
Beliau kini boleh selesa menikmati kejayaan hasil perjuangan keras selama bertahun-tahun, tetapi pada masa sama dirinya juga tidak pernah sesekali lupa menyumbang kembali kepada masyarakat dan komuniti menerusi pelbagai badan bukan kerajaan yang dinaungi.

“Antaranya, saya merupakan Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda, di mana saya berperanan membantu generasi muda Felda yang memerlukan pertolongan.
“Saya menyumbang kembali apa yang saya mampu antaranya memberi nasihat dalam menangani masalah-masalah Felda secara profesional,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

