TH jamin data jemaah haji dalam sistem, aplikasi selamat

Hanizam (kanan) menunjukkan sistem dan aplikasi yang dibangunkan TH untuk kemudahan pihak pengurusan dan jemaah haji.
Hanizam (kanan) menunjukkan sistem dan aplikasi yang dibangunkan TH untuk kemudahan pihak pengurusan dan jemaah haji.
A
A
A

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan semua data peribadi jemaah haji yang dimasukkan ke dalam aplikasi dan sistem pihak itu selamat serta dilindungi sepenuhnya daripada sebarang ancaman kebocoran.

Pengarah Operasi Teknologi Maklumat, Hanizam Hanif berkata, sistem keselamatan sedia ada telah melalui proses penambahbaikan secara berterusan untuk memastikan tahap perlindungan data berada di tahap tertinggi.

Menurutnya, TH terus memperkukuh aspek keselamatan data jemaah haji dengan memastikan semua sistem dan aplikasi digital yang digunakan dalam operasi haji musim 1446H/2025M mematuhi garis panduan keselamatan siber yang ketat.

Tambahnya, setiap sistem yang dibangunkan dilindungi melalui penggunaan teknologi firewall serta kaedah penyulitan data (data encryption) bagi menjamin kerahsiaan dan keselamatan maklumat peribadi jemaah daripada sebarang bentuk pencerobohan siber.

“Data jemaah haji adalah sulit dan dijaga rapi. Dengan teknologi keselamatan yang telah kami letakkan, insya-ALLAH data ini tidak akan mudah bocor. Aplikasi THhujjaj misalnya hanya boleh diakses oleh jemaah yang sudah menjawab surat tawaran.

“Namun jemaah diingatkan perlu sentiasa menjaga maklumat pengenalan diri mereka seperti nama pengguna dan kata laluan agar tidak mudah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat TH di sini.

Hanizam.
Hanizam.

Hanizam berkata, dalam membangunkan sebarang aplikasi, keselamatan data sentiasa menjadi pertimbangan utama. Semua sistem yang digunakan oleh TH dilindungi oleh ciri keselamatan seperti firewall dan lain-lain langkah kawalan.

Artikel Berkaitan:

“Malah, kami berpegang kepada garis panduan RMIT (Risk Management in Technology) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan sistem kami kekal selamat dan kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, Hanizam berkata, TH juga telah mengintegrasikan sistem i-Sihat dengan sistem MyVAS dan MySejahtera milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, langkah itu membolehkan petugas perubatan di Tanah Suci mengakses maklumat kesihatan jemaah dengan lebih cepat dan efisien serta mengurangkan keperluan penggunaan buku rekod rawatan fizikal.

Bagi memastikan kestabilan sambungan internet pula, Hanizam berkata, TH bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi Arab Saudi iaitu STC bagi meningkatkan infrastruktur talian fiber optik di bangunan penginapan jemaah.

Selain itu, katanya, TH juga melanggan perkhidmatan data mudah alih 5G dari tiga syarikat utama di Arab Saudi untuk digunakan semasa operasi di luar bangunan, termasuk di kawasan Masyair.

Beliau berkata, dengan pelbagai penambahbaikan digital dan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh, TH optimis pengalaman ibadah jemaah Malaysia di Tanah Suci dapat dipertingkatkan, sekali gus memastikan kelancaran keseluruhan operasi haji tahun ini.

Terdahulu, Hanizam berkata, pasukan Teknologi Maklumat TH terdiri daripada 17 anggota petugas, dengan 15 orang ditempatkan di Makkah dan dua lagi di Madinah.

Katanya, antara tugas utama pasukan itu adalah menguruskan data termasuk profil jemaah haji, jadual perjalanan dan penginapan serta memastikan maklumat sampai kepada pengurusan dan jemaah secara tepat dan pantas.

Menurut Hanizam, semua aplikasi yang dibangunkan menitikberatkan ciri mesra pengguna memandangkan ia digunakan oleh pelbagai usia.

“Jemaah haji boleh menggunakan aplikasi THiJARI, THhujjaj, e-Bimbingan dan e-Taib bagi memudahkan urusan sepanjang di Tanah Suci,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!