Kehilangan Pamela Ling, SPRM serah siasatan kepada polis

SPRM menyerahkan kes kehilangan Pamela Ling Yueh kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.
SPRM menyerahkan kes kehilangan Pamela Ling Yueh kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kes kehilangan Pamela Ling Yueh kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa wanita berkenaan sebelum ini diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 9 April lalu.

“Proses itu dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

“Bagaimanapun, wanita terbabit gagal hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada tarikh tersebut serta peranti komunikasinya gagal dihubungi oleh pegawai SPRM,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu lagi, satu laporan polis turut dibuat oleh peguam yang mewakili wanita berkenaan mengenai kehilangannya pada hari yang sama.

“Sehubungan itu, SPRM menyerahkan usaha mengesan wanita terbabit kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan laporan polis yang telah dibuat.

“Mana-mana pihak diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan maklumat daripada sumber berita yang tidak sahih dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa polis mengesahkan tiada tuntutan wang tebusan berkaitan kehilangan individu berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini siasatan mendapati belum ada sebarang petunjuk atau perkembangan mengenai keberadaan wanita tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, siasatan turut mendapati tiada sebarang tuntutan wang tebusan dibuat kepada keluarganya setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!