Ular jatuh dalam periuk punca 100 murid pening kepala, muntah

100 murid sakit selepas makan makanan dicemari bangkai ular di sebuah sekolah di Mokama, Bihar, India.
100 murid sakit selepas makan makanan dicemari bangkai ular di sebuah sekolah di Mokama, Bihar, India.
A
A
A

NEW DELHI - Lebih 100 murid di sebuah sekolah di Mokama, Bihar, India dilaporkan jatuh sakit selepas makan makanan tengah hari yang dipercayai dicemari bangkai ular.

Menurut laporan The Times of India, kejadian tersebut berlaku pada 24 April lepas di sekolah dalam daerah Patna apabila seekor ular dikatakan terjatuh ke dalam periuk ketika penyediaan nasi untuk program makanan tengah hari.

Tidak lama selepas makan, ramai murid mengalami muntah dan pening kepala sebelum dikejarkan ke beberapa hospital berhampiran.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC) memaklumkan, tukang masak tetap menghidangkan makanan tersebut kepada kira-kira 500 murid selepas mengeluarkan bangkai ular itu.

Justeru, suruhanjaya terbabit mengarahkan siasatan dijalankan dan mengeluarkan notis kepada Ketua Setiausaha Bihar dan Ketua Polis Patna untuk laporan terperinci dalam tempoh dua minggu.

Bagaimanapun, Majistret Bahagian Barh, Shubham Kumar menafikan dakwaan bahawa makanan tercemar menyebabkan murid sekolah terlibat jatuh sakit.

Menurutnya, siasatan awal tidak menemui bukti kukuh pencemaran makanan, sebaliknya kejadian itu dipercayai berpunca daripada cuaca panas melampau.

Beliau menegaskan siasatan menyeluruh telah dilakukan dan tiada petunjuk menunjukkan punca lain.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!