Guni berisi dadah RM585,000 ditinggalkan dalam kereta

PASIR MAS - Cubaan menyorok dadah bernilai lebih setengah juta ringgit di dalam guni berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam satu serbuan di Kampung Resak, di sini pada 10 April lalu.
Operasi dijalankan oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu kira-kira jam 7.18 pagi itu telah menemukan guni terbabit di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara yang ditinggalkan di kawasan berkenaan.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, hasil pemeriksaan menemui 18.032 kilogram bahan disyaki dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan dalam sebuah guni.

“Dadah itu dibungkus dalam 17 ketulan mampat yang mengandungi serbuk putih jernih menyerupai kristal.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM585,664 berdasarkan harga pasaran semasa, manakala kereta terbabit dianggarkan bernilai RM1,000," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dijadikan tempat penyimpanan sementara sebelum diedarkan kepada pelanggan.
Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Wan Jamal Abdul Salam turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan melalui Talian Bebas Tol 1-800-88-8855 atau ke Pejabat JKDM berhampiran.
“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan kerjasama anda amat kami hargai dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

