Tomas, Quaresma bantu legenda Kedah jinakkan All Star Malaysia

DUA bekas bintang Portugal, Joao Tomas dan Ricardo Quaresma, menjadi kunci utama kejayaan All Star Kedah, apabila mereka berjaya menundukkan All Star Malaysia dengan keputusan 4-3 pada aksi persahabatan di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.
Perlawanan anjuran bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Malaysia Museum Football kembali mengamit semula memori penyokong untuk melihat bekas-bekas pemain kesayangan mereka beraksi.
Antara legenda bola sepak Sang Kenari turun beraksi adalah Nafuzi Zain, Helmi Eliza, Khyril Muhaimimeen, Norazam Ishak dan Khairul Helmi.
All Star Malaysia pula diperkuatkan oleh pemain seperti Amri Yahya, Faiz Subri, Hardi Jaafar, Liew Kit Kong, Amar Rohidan dan Manzoor Azwira.
Aksi bermula dengan penuh bertenaga apabila Joao Tomas membuka tirai jaringan, menyambut hantaran lintang rakan sepasukan bagi meletakkan Kedah di depan.
Tidak lama selepas itu, Tomas sekali lagi menjadi pemusnah, menyempurnakan umpanan berkualiti tinggi dari Ricardo Quaresma untuk gol kedua pasukan.
Lebih menceriakan penyokong Kedah, Quaresma turut mencatat nama sebagai penjaring, menerusi percubaan kemas yang memastikan All Star Kedah mendahului 3-0 sebelum tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, All Star Malaysia berusaha bangkit dengan A Jayakanthan menyempurnakan tendangan penalti, merapatkan jurang kedudukan.
Namun, Khairul Ismail kembali memastikan kelebihan Kedah kekal, menjaringkan gol keempat pasukan Sang Kenari di pertengahan separuh masa kedua.
Pasukan All Star Malaysia terus memberikan cabaran dengan dua lagi gol lewat permainan, hasil jaringan Liew dan Amar, namun gagal menyamakan kedudukan.
Aksi berakhir dengan kemenangan All Star Kedah 4-3 ke atas All Star Malaysia, dalam perlawanan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mengimbau kembali era kegemilangan pemain legenda bola sepak negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

