Lelaki Australia, pemandu mabuk halang tugas polis ditahan

Dua lelaki termasuk seorang warga Australia ditahan selepas dipercayai menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Bangunan Sultan Iskandar, di Johor Bahru, awal pagi Sabtu. Gambar hiasan.
Dua lelaki termasuk seorang warga Australia ditahan selepas dipercayai menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Bangunan Sultan Iskandar, di Johor Bahru, awal pagi Sabtu. Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki termasuk seorang warga Australia ditahan selepas dipercayai menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, awal pagi Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Azrul Hisham Mohd Shafie berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi ketika anggota trafik yang bertugas di laluan keluar Malaysia menahan sebuah kereta tersalah masuk ke lorong khas untuk bas menuju ke Singapura.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pemandu dan penumpang enggan memberi kerjasama serta bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bertugas.

"Pemandu kenderaan terbabit merupakan lelaki warga tempatan berusia 25 tahun, manakala penumpangnya ialah lelaki berusia 29 tahun warga Australia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, hasil ujian pernafasan mendapati pemandu tersebut berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Ujarnya, semakan lanjut juga mendapati dia tidak memiliki lesen memandu sah.

Bagaimanapun, Azrul memaklumkan bahawa kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan Seksyen 26(1) akta sama kerana tidak memiliki lesen memandu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Sebarang ancaman atau jenayah akan ditangani dengan tegas dan segera," tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!