Eyka Farhana kini isteri pemain bola sepak, Akhyar Rashid

SELEPAS lima tahun menyulam cinta, pelakon Eyka Farhana selamat bergelar isteri kepada pemain bola sepak Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid dengan sekali lafaz pada jam 10.12 pagi tadi.
Dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Boathouse By The Lake Ampang, Selangor pada Jumaat, pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Wan Sarmizi Wan Ibrahim di hadapan Jurunikah Pejabat Agama Islam Gombak, Jaslan Ali.

Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi menerima mas kahwin sebanyak RM3,200. Pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pengantin perempuan.
Majlis akad nikah yang berlangsung secara sederhana membabitkan ahli keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak itu menyaksikan Eyka anggun mengenakan baju kurung moden berwarna putih rekaan Teh Firdaus.

Sementara itu, Akhyar atau nama sebenarnya, Muhammad Akhyar Abdul Rashid pula tampil segak dengan baju Melayu berwarna putih.
Majlis pernikahan itu turut dihadiri oleh beberapa rakan artis seperti Mimi Lana, Amelia Henderson, Yaya Zahir, Shalma Ainaa, Sophia Liana, Azira Shafinaz dan Alicia Amin yang bertindak sebagai pengiring dulang hantaran.
Sekadar info, Eyka dan Akhyar mengikat tali pertunangan pada 4 Ogos tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


