Khutbah Jumaat di Terengganu beri peringatan mengenai ancaman 'Ahzab Moden'

Khutbah Jumaat di seluruh Terengganu turut menggesa umat Islam agar terus istiqamah dalam mempertahankan agama, memperkukuh perpaduan dan mengamalkan ajaran Rasulullah SAW sebagai benteng daripada pengaruh Ahzab Moden. - Gambar hiasan
Khutbah Jumaat di seluruh Terengganu turut menggesa umat Islam agar terus istiqamah dalam mempertahankan agama, memperkukuh perpaduan dan mengamalkan ajaran Rasulullah SAW sebagai benteng daripada pengaruh Ahzab Moden. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Umat Islam diingatkan supaya berwaspada dengan ancaman bala tentera Ahzab Moden yang kini bergerak secara halus dan terancang untuk melemahkan Islam melalui serangan ideologi, pemikiran dan budaya.

Peringatan itu disampaikan menerusi khutbah Jumaat di seluruh Terengganu yang bertajuk Cabaran Ahzab Moden, bersempena bulan Syawal yang mengimbau kembali peristiwa Perang Ahzab atau peperangan Khandaq yang berlaku pada tahun kelima hijrah.

Menurut teks khutbah itu, meskipun peristiwa tersebut berlaku lebih 1,400 tahun dahulu, ia menunjukkan bagaimana pertolongan ALLAH SWT mengatasi perancangan jahat musuh-musuh Islam.

"Musuh-musuh Islam hari ini terdiri daripada pelbagai kumpulan termasuk zionis Yahudi, orientalis, kuasa besar barat serta golongan munafik yang bersekongkol menghancurkan Islam," kata khutbah berkenaan.

Ia turut menyebut bahawa ancaman kini bukan sahaja dalam bentuk ketenteraan, tetapi lebih membimbangkan apabila akidah dan pemikiran umat Islam di serang melalui media, fahaman kapitalisme, liberalisme dan budaya songsang seperti LGBT.

"Mereka menyebarkan ideologi hidup bebas, perkahwinan sejenis dan fahaman tanpa batasan yang bertentangan dengan ajaran Islam," menurut khutbah itu lagi.

Khutbah berkenaan turut menggesa umat Islam agar terus istiqamah dalam mempertahankan agama, memperkukuh perpaduan dan mengamalkan ajaran Rasulullah SAW sebagai benteng daripada pengaruh Ahzab Moden.

"Inilah janji ALLAH SWT yang akan berlaku di sepanjang zaman. Tentera Ahzab yang tewas di zaman Nabi Muhammad SAW melalui pertolongan daripada ALLAH SWT.

"Begitulah juga tentera Ahzab di zaman moden ini pasti akan dihancurkan oleh ALLAH SWT melalui doa-doa dan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab kepada umat Islam untuk terus istiqamah di atas jalan ALLAH SWT, petunjuk Islam yang

berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW," jelas khutbah itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!