Tiada rombakan dalam PDRM, kata Abdul Hamid

Abdul Hamid (dua dari kiri) melakukan gimik penyerahan Deklarasi Kerjasama Strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som (kiri). Foto: Bernama
Abdul Hamid (dua dari kiri) melakukan gimik penyerahan Deklarasi Kerjasama Strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som (kiri). Foto: Bernama
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Tiada sebarang rombakan besar-besaran akan berlaku dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan perubahan Kerajaan Persekutuan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata ini kerana, PDRM adalah agensi yang ditubuhkan untuk menjaga keselamatan negara bukan berkhidmat kepada mana-mana parti politik.

Justeru tegas beliau, pasukan keselamatan itu akan terus memainkan peranannya menjaga keamanan negara mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta Polis.

“Polis kekal dengan tugasnya, bukan untuk parti-parti politik dan kita akan teruskan tugas-tugas kita sebagaimana yang digariskan oleh Perlembagaan.

“Sama seperti jabatan kerajaan lain, polis akan terus memainkan peranannya dan tidak timbul berlakunya rombakan dalam PDRM, melainkan kerajaan yang mahu berbuat demikian," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pemeteraian Deklarasi Kerjasama Strategik Menjaga Keselamatan dan Keamanan Perairan Negara antara PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Sementara itu, mengulas dakwaan pihak tertentu mengatakan polis bertindak keras dalam menangani isu perhimpunan haram di ibu negara susulan pertukaran Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, Abdul Hamid berkata pasukan keselamatan itu menghormati prinsip-prinsip demokrasi dan hak rakyat negara ini untuk berhimpun dan berucap.

Bagaimanapun katanya hak-hak berkenaan perlu dipraktikkan dengan berhemah.

Artikel Berkaitan:

"Jika hendak berhimpun mereka perlu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan jika mahu berucap, tidak perlulah mengeluarkan ugutan atau kata-kata yang menyentuh isu agama, Raja Melayu dan perkauman," katanya.

Mengulas mengenai deklarasi hari ini, Abdul Hamid berkata, kerjasama strategik berkenaan meliputi operasi di lapangan, latihan dan kursus selain perkongsian maklumat, aset serta kemudahan antara kedua-dua agensi berkenaan bagi menjaga keselamatan perairan negara.

Beliau turut percaya, kerjasama yang dimeterai itu mampu memberi impak positif terhadap PDRM, APMM dan juga masyarakat. - Bernama