Amorim puji aksi cemerlang Maguire

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim memuji Harry Maguire yang berjaya mengharungi detik sukar selepas memainkan peranan dalam gol pembukaan pasukannya ketika menewaskan Athletic Bilbao 3-0 pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa.
Maguire berada di bahagian sayap kanan serangan United pada minit ke-30 di Stadium San Mames, sebelum melakukan gerakan lincah melorongkan hantaran lintang yang ditanduk Manuel Ugarte dan disudahkan dengan tandukan kemas oleh Casemiro.
Bekas kapten England itu sebelum ini turut menjaringkan gol kemenangan dalam aksi dramatik suku akhir kedua menentang Lyon yang berakhir 5-4, selepas diarahkan beraksi di barisan serangan.
Mengulas prestasi cemerlang Maguire di Bilbao, Amorim menyifatkan pemain pertahanan itu bertindak sebagai pemain sayap yang baik ketika gol tersebut serta memuji ketabahan pemain itu menempuh fasa kritikan di kelab berkenaan.
“Kadang-kadang dalam hidup, ada detik sukar dan Harry mengalaminya. Apa sahaja yang dilakukannya ketika itu seolah-olah tidak menjadi.
"Tetapi kini, segala tindakannya memberi impak positif kepada pasukan. Jadi dia perlu menikmati saat ini,” katanya.
Kapten United, Bruno Fernandes pula menyifatkan Maguire kini sebagai seorang yang lebih berkeyakinan, namun mengakui tidak menyangka rakan sepasukannya itu mampu mempamerkan aksi individu yang baik.
“Saya terus kata kepadanya dia macam pemain sayap! Saya rasa dia sendiri pun tak sangka boleh lakukan begitu. Tiada siapa jangka, termasuk lawan,” kata Fernandes.
Fernandes menggandakan kelebihan United menerusi sepakan penalti pada minit ke-37 selepas Dani Vivian didapati mengasari Rasmus Hojlund dalam kotak penalti hasil semakan VAR.
Vivian dilayangkan kad merah selepas pengadil, Espen Eskas meneliti insiden berkenaan.
Pemain tengah Portugal itu kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya sebelum tamat separuh masa pertama, menjadikan United selesa dengan kelebihan tiga gol menjelang aksi timbal balik di Old Trafford minggu depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
