28 pengunjung dijangkiti parasit selepas lawat zoo haiwan jinak

UNITED KINGDOM (UK) - Seramai 28 individu disahkan dijangkiti penyakit parasit dikenali sebagai cryptosporidium yang menjangkiti usus, selepas melawat sebuah zoo haiwan jinak di selatan Wales.
Menurut Metro UK, kesemua mereka dilaporkan telah mengunjungi Cowbridge Farm Shop di Marlborough Grange Farm, Vale of Glamorgan.
Public Health Wales dalam kenyataan memaklumkan, sesi memberi makan dan membelai anak lembu serta anak kambing di ladang berkenaan telah dihentikan.
“Pihak ladang juga sedang memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Untuk makluman, cryptosporidium merupakan sejenis parasit yang boleh menyebabkan penyakit sistem penghadaman termasuk perut dan usus.
“Antara simptom utama termasuk cirit-birit berair, sakit perut, loya, demam ringan, hilang selera makan dan penurunan berat badan. Simptom jangkitan biasanya muncul dalam tempoh dua hingga 10 hari selepas terdedah kepada parasit tersebut,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurutnya lagi, penyakit tersebut boleh berlarutan sehingga dua minggu dan kanak-kanak serta individu yang mempunyai sistem imun lemah lebih terdedah kepada komplikasi serius.
Sementara itu, Perunding Perlindungan Kesihatan Public Health Wales, Su Mably berkata, pihaknya kini sedang menyiasat kes berkenaan secara menyeluruh.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan rakan agensi untuk mengenal pasti sama ada wujud risiko lebih meluas kepada orang awam.
“Kami menasihatkan sesiapa yang telah melawat ladang berkenaan, terutamanya mereka yang menghadiri sesi memberi makan atau membelai haiwan dan kini mengalami simptom, supaya menghubungi doktor mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
