GLIC laksana gaji kehidupan wajar, minimum RM3,100 sebulan

GLIC melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar RM3,100 sebulan bagi pekerja tetap, menyokong Ekonomi Madani ke arah pertumbuhan inklusif dan kesejahteraan rakyat. - Foto hiasan
GLIC melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar RM3,100 sebulan bagi pekerja tetap, menyokong Ekonomi Madani ke arah pertumbuhan inklusif dan kesejahteraan rakyat. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Semua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) di Malaysia telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar untuk semua pekerja tetap warga tempatan sebagai sebahagian daripada komitmen menjayakan Ekonomi Madani.

GLIC yang terlibat termasuk Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menerusi penanda aras daripada Panduan Belanjawanku 2024/2025, gaji kehidupan wajar ditetapkan sekitar RM3,100 sebulan, lebih tinggi berbanding gaji minimum semasa RM1,700 yang mula berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah GLIC ini adalah pendekatan penting untuk 'menaikkan lantai' demi pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan menambah baik kesejahteraan rakyat.

"Melaksanakan visi Ekonomi Madani memerlukan peranan aktif sektor korporat untuk menjamin impak yang berpanjangan," katanya dalam satu kenyataan.

Pelaksanaan dasar ini adalah sebahagian inisiatif GEAR-uP di bawah Kementerian Kewangan yang memerlukan GLIC memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor utama ekonomi negara.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, semua pekerja PNB kini menerima lebih daripada gaji kehidupan wajar dan tiga syarikat strategik mereka telah menyatakan komitmen kepada dasar tersebut menjelang 2026.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir menegaskan, pihaknya turut melibatkan syarikat pelaburan teras dalam menerapkan dasar gaji kehidupan wajar secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn pula menyifatkan pelaksanaan ini sebagai langkah memperkukuh ekosistem persaraan yang lebih inklusif dan mampan.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini menetapkan standard baharu bagi majikan di seluruh negara. Gaji kehidupan wajar bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup malah menjamin simpanan persaraan yang kukuh," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed pula menyifatkan pelaksanaan itu selari dengan komitmen nasional dalam membina nilai jangka panjang melalui pelaburan yang mampan.

Bagi Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi, pembayaran gaji kehidupan wajar berjumlah RM3,100 adalah satu kewajipan moral dan strategi nasional untuk memperkasakan warga kerja pertahanan dan awam.

Tabung Haji pula memaklumkan pelaksanaan dasar ini sedang berjalan dan usaha penambahbaikan akan diteruskan secara kolaboratif bersama syarikat dalam kumpulannya.

Kesemua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan GLIC dalam mendukung prinsip keadilan sosial dan ekonomi, seiring dengan kerangka Ekonomi Madani yang mementingkan kesejahteraan seluruh rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!