Keluarga reda, mayat di Sungai Kedah disahkan Siti Rohani

Saiful menunjukkan gambar Siti Rohani.
Saiful menunjukkan gambar Siti Rohani.
A
A
A

ALOR SETAR – Keluarga kepada Siti Rohani Saad, 37, yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu, reda dengan ketentuan takdir apabila keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan bahawa mayat reput yang ditemukan di Sungai Kedah pada Januari lalu adalah miliknya.

Abang mangsa, Saiful Saad, 47, berkata, keluarga mereka dimaklumkan mengenai keputusan DNA oleh pihak polis pada Jumaat lalu, sekali gus mengakhiri penantian selama enam bulan.

“Kami sekeluarga telah menuntut jasadnya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Lanjut selepas solat Maghrib pada hari yang sama,” katanya pada Khamis.

Menurut Saiful, walaupun proses pengesahan mengambil masa lama, keluarga mereka menerima ketentuan dengan hati terbuka dan reda.

“Walaupun kami tidak dapat melihat wajahnya buat kali terakhir, saya sempat memikul keranda adik saya di tanah perkuburan. Itu sudah cukup bermakna buat kami sekeluarga,” ujarnya.

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Siti Rohani hilang pada November tahun lalu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Pegawai, di sini.

Motosikalnya ditemukan di tebing Sungai Titi Haji Idris, namun tiada jejak dirinya sehingga jasad reput ditemukan oleh orang awam di tebing Sungai Kedah pada 13 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad mengesahkan bahawa jasad berkenaan telah dituntut oleh keluarga setelah keputusan ujian DNA diperoleh.

Katanya, kes tersebut masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), dan pihak polis akan terus menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan semua aspek diperhalusi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!