Timbalan Presiden PBSNT meninggal dunia

ARENA bola sepak Terengganu dikejutkan dengan kehilangan seorang tokoh disegani selepas pemergian Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong pada Rabu.
Allahyarham yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.40 malam di kediamannya di Setiu.
Adiknya, Amrang, 56, memaklumkan bahawa Allahyarham yang berusia 60 tahun itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Salam Kuala Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HoSZA), Kuala Nerus akibat masalah jantung dan diabetes.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sharifah Nor Salma Chong Abdullah serta tujuh orang anak.
Menurut Amrang, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Calok, Penarik, Setiu pada jam 11 pagi Khamis ini.
Sementara itu, Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim menerusi hantaran di laman sosialnya memaklumkan beliau menerima berita duka itu sejurus tiba di Vietnam dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat keluarga PBSNT dan Terengganu FC.
“Sebelum ini saya sempat menziarahi Allahyarham selepas dimaklumkan beliau mengalami komplikasi kesihatan.
“Allahyarham sangat aktif dalam membantu mengemudi PBSNT dan banyak pengalaman yang saya pelajari daripadanya,” katanya yang turut berkongsi dua keping gambar bersama Allahyarham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
