Baru sedar kena 'scam' selepas buat 34 transaksi lebih RM3 juta

Mangsa membuat 34 transaksi ke empat akaun atas nama syarikat dan perniagaan yang berbeza. Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohamad Hatta
Mangsa membuat 34 transaksi ke empat akaun atas nama syarikat dan perniagaan yang berbeza. Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohamad Hatta
A
A
A

SEREMBAN - Hasrat seorang lelaki untuk menikmati keuntungan awal hasil pelaburan yang dibuatnya bukan saja tidak kesampaian, malah turut mengalami kerugian lebih RM3 juta.

Mangsa berusia 50-an menyertai skim pelaburan yang kononnya bertapak di China itu hanya menyedari ditipu selepas diminta membuat pelbagai bayaran bagi mengeluarkan hasil keuntungan pelaburan yang diperoleh.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan modus operandi pelaburan tidak tidak wujud itu minggu lalu.

"Mangsa warga tempatan dan bekerja di sektor swasta mengalami kerugian sebanyak RM3.1 juta selepas melabur dalam pelaburan saham komunikasi, industri dan minyak yang kononnya beroperasi di China.

"Mangsa berurusan dengan beberapa individu sejak Disember tahun lalu melalui aplikasi WhatsApp," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, mangsa juga dimasukkan ke dalam grup Whatsapp atas nama 'III VIP-S16-Invesco Invesment Club (Singapore LTD)' untuk menyertai pelaburan terbabit.

Tambahnya, mangsa juga telah mendaftar di aplikasi IAMS FLC yang mana semua urusan pelaburan dan wang keuntungan yang diterima akan dipaparkan menerusi aplikasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tujuan pelaburan ini, mangsa membuat 34 transaksi ke empat akaun atas nama syarikat dan perniagaan yang berbeza.

"Selepas membuat pembayaran, mangsa mendapati akaun pelaburannya menjana keuntungan melalui aplikasi berkenaan, namun masih diarah untuk membuat pelbagai bayaran apabila mahu membuat pengeluaran keuntungan," katanya.

Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan membuat semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!