Hutang Negeri Sembilan dengan Pusat RM937 juta, henti pinjaman baharu sejak 2016

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan tidak membuat sebarang pinjaman atau hutang baharu dengan Kerajaan Persekutuan selepas tahun 2016.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah hutang semasa sehingga 31 Disember adalah sebanyak RM937 juta.

Menurutnya, Negeri Sembilan setiap tahun tanpa gagal berusaha melunaskan hutang tersebut mengikut kemampuan dan kedudukan kewangan kerajaan negeri.

“Sepertimana negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak, Negeri Sembilan juga tidak terkecuali mempunyai hutang dengan Kerajaan Persekutuan.

“Namun begitu, sejak tahun 2016, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang pinjaman atau hutang baharu dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaren mengenai status hutang antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri telah menaikkan peruntukan bayaran hutang pada tahun ini.

“Peruntukan bayaran hutang telah dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta pada tahun 2025 di bawah Vot Tanggungan T04 – Bayaran Hutang Kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Bayaran sebanyak RM3 juta tersebut juga telah pun dibuat pada 27 Februari lalu,” katanya.

Tambahnya, tiada kadar faedah dan tiada tempoh pembayaran dikenakan bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!