X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Gred purata Sejarah merosot, Jabatan Pendidikan WPKL ambil perhatian serius

Sembilan pelajar WPKL memperolehi keputusan cemerlang tertinggi (A ) dalam SPM 2019.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) akan merangka kaedah pembelajaran lebih kreatif bagi subjek Sejarah dalam usaha meningkatkan gred purata mata pelajaran (GPMP) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan pelajar.

Pengarah Pendidikan JPWPKL, Maznah Abu Bakar berkata, ini kerana GPMP bagi subjek Sejarah dalam keputusan SPM 2019 menurun sebanyak 0.19 berbanding tahun 2018.

Menurutnya, penekanan harus dibuat bagi subjek Sejarah kerana ia merupakan subjek syarat layak sijil selain Bahasa Melayu.

"Saya akui terdapat penurunan GPMP terutamanya subjek Sejarah dan Matematik dalam keputusan SPM 2019 bagi WPKL dan penekanan harus diberikan bagi mata pelajaran Sejarah.

"Jadi saya akan lihat bagaimana hendak perkasakan pendidikan digital dalam subjek ini dan kita juga akan berbincang dengan guru sejarah bukan opsyen untuk memastikan mereka dapat mengajar dengan lebih baik bagi subjek Sejarah.

"Saya juga akan melakukan post-mortem secepat mungkin bagi mengenal pasti punca penurunan GPMP berkenaan," katanya dalam sidang media selepas mengumumkan keputusan SPM WPKL, di sini hari ini.

Maznah berkata, beliau percaya kemerosotan pencapaian subjek Sejarah adalah kerana kurangnya minat pelajar dalam subjek itu khususnya calon pelajar bukan Melayu.

"Minat sangat penting kerana untuk tingkatkan pencapaian kena datang daripada minat bukan hanya sejak tingkatan empat tetapi sekolah rendah.

"Subjek adalah penting kerana ia akan membentuk karektor dan kecintaan kepada negara. Di situ juga ada unsur sivik adab dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan Indeks Gred Purata Negeri (GPN) bagi WPKL adalah 4.86 mata mengatasi Gred Purata Nasional.

Sebanyak 14 sekolah telah mencatatkan 100 peratus calon layak memperoleh SPM.

Seramai sembilan pelajar pula memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (A+), manakala 364 lagi memperoleh pencapaian cemerlang minima bagi semua subjek.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!