Dua rakan dipenjara 15 bulan, denda RM7,000 curi duit tabung masjid dan surau

MELAKA - Gara-gara mencuri duit kutipan tabung masjid dan surau, dua rakan dihukum penjara 15 bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Keputusan itu dibuat Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap tertuduh, Muhammad Hafiez Kamarudin,30, dan Muhammad Hakimi Aiman Asbullah,19, selepas mereka membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Kedua-duanya dituduh secara bersama-sama didapati dengan niat curang telah mencuri duit tabung masjid dan memecah masuk masjid kesemuanya di sini antara 5 April 2025 hingga 13 April lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan mencuri, tertuduh boleh dipenjara hingga 10 tahun dan juga dikenakan denda.
Bagi kesalahan pecah bangunan, tertuduh boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda mengikut Seksyen 457 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK.
Sekiranya, kesalahan yang dimaksudkan hendak dilakukan iaitu kesalahan mencuri maka tempoh penjara boleh dilanjutkan hingga 14 tahun dan kesalahan kali kedua boleh dikenakan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdullah Mohd Rodzlad mencadangkan hukuman setimpal namun kedua-dua tertuduh dalam rayuannya memohon denda yang rendah dan hukuman berjalan serentak dengan alasan perlu menjaga ibu bapa uzur serta ahli keluarga yang tidak bekerja.
Majistret kemudian memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara keseluruhan berjumlah 15 bulan bermula dari tarikh ditangkap.
Selain itu, turut mengarahkan tertuduh dikenakan denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar bagi semua pertuduhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

