Yayasan Selangor salur biasiswa pendidikan lebih RM2 juta

SHAH ALAM – Yayasan Selangor menyalurkan biasiswa berjumlah lebih RM2 juta kepada 423 pelajar dari pelbagai latar belakang, termasuk keluarga B40 dan luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Nazirin Shah Raja Mohamad berkata, setiap pelajar menerima bantuan kewangan berbentuk Biasiswa Kecil sebanyak RM700 atau Biasiswa Khas bernilai RM1,000 setahun, selain manfaat tambahan yang merangkumi yuran persekolahan, buku teks dan keperluan asas pendidikan.
Menurut beliau, yayasan itu juga memperuntukkan kira-kira RM2 juta setiap tahun bagi menampung kos makanan dan minuman pelajar yang tinggal di dua asrama pusat, masing-masing di Klang dan Sabak Bernam.
"Selain biasiswa, kami juga melaksanakan pelbagai program akademik dan pembangunan sahsiah seperti kelas bimbingan, tuisyen percuma, bengkel peperiksaan, program motivasi, jati diri dan kepimpinan.
"Kami beriltizam menyediakan segala kemudahan demi membantu kemenjadian murid tajaan yayasan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Biasiswa di Dewan Bestari, Asrama Yayasan Selangor Klang pada Selasa.
Raja Nazirin menjelaskan, peruntukan itu juga merupakan sebahagian daripada usaha holistik yayasan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pelajar supaya tidak mensia-siakan peluang yang diberikan dan berusaha menjadi insan serba boleh serta berdaya saing.
“Semua pelajar dituntut menjadi seorang yang memiliki minda kelas pertama, pengetahuan luas dan kemahiran pelbagai demi kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
“Inisiatif ini mencerminkan iltizam Yayasan Selangor dalam menyokong agenda pendidikan negeri dan negara bagi melahirkan modal insan berkualiti tinggi, sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa serta negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

