Rasuah C4i: 23 individu direkod keterangan

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekodkan 23 keterangan individu berhubung siasatan perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) bernilai kira-kira RM15 juta.
Menurut sumber, keterangan itu melibatkan saksi dan individu yang ditahan dalam kes ini.
"Setakat ini tiada tangkapan baharu dan kes masih dalam siasatan.
"Jumlah pembekuan akaun kes berkenaan setakat ini ialah RM7.6 juta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memaklumkan kes berkenaan masih dalam tindakan pihaknya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis antara enam individu ditahan pada Rabu lepas kerana disyaki terbabit tuntutan palsu bagi perolehan berkenaan.
Keenam-enam individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ini kemudian direman tujuh hari sehingga 30 April.
Susulan itu, pada Jumaat, seorang lagi pegawai polis lelaki berusia 54 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta yang mana sebahagian daripada kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan di bawah Seksyen 4(1) Salah Guna Harta dan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
