8,876 calon SPM 2019 cemerlang

Dr Habibah (dua, kiri) menunjukkan analisis keputusan SPM 2019. Turut sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Pendidikan), Dr Ahmad Rafee Che Kassim (kiri); Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Dr Mohamed Abu Bakar (dua, kanan) dan Timbalan Pengarah Peperiksaan Kanan Kluster Produksi Fauzi Asirop (kanan). - Foto Bernama
Dr Habibah (dua, kiri) menunjukkan analisis keputusan SPM 2019. Turut sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Pendidikan), Dr Ahmad Rafee Che Kassim (kiri); Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Dr Mohamed Abu Bakar (dua, kanan) dan Timbalan Pengarah Peperiksaan Kanan Kluster Produksi Fauzi Asirop (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seramai 8,876 daripada 389,498 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan iaitu 77,038 calon berbanding 74,360 tahun 2018.

"Seramai 147,738 calon lagi mendapat sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan sebanyak 69 calon berbanding tahun sebelumnya," katanya pada pengumuman analisis keputusan SPM di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian calon SPM di bandar dan luar bandar meningkat tetapi pencapaian calon di bandar lebih baik.

"Perbezaan ini menyebabkan jurang pencapaian berkenaan bertambah 0.01 peratus," katanya.

Beliau berkata, syarat pensijilan SPM bermula 2013 menetapkan bahawa calon wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

"Pada tahun 2019, peratusan calon yang layak menerima sijil meningkat sebanyak 0.33 peratus iaitu 337,773 calon berbanding 338,350 tahun 2018," katanya.

Habibah berkata, sebanyak 86.72 peratus telah menguasai soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Artikel Berkaitan:

"87.22 peratus calon menguasai kemahiran mengaplikasi, 89.84 peratus menganalisis, 79.89 peratus menilai dan 89.91 peratus menguasai mencipta.

"Secara keseluruhan, 56 peratus calon SPM menguasai KBAT dengan baik berbanding 61.10 peratus tahun 2018," katanya.

Beliau berkata, keputusan SPM boleh diperoleh mulai jam 10 pagi di sekolah masing-masing.

"Keputusan peperiksaan bagi calon persendirian akan dihantar melalui pos oleh Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

"Calon juga boleh menyemak keputusan melalui sistem pesanan ringkas (mySMS) atau layari portal Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my," katanya.