80 peratus kemalangan maut libatkan penunggang motosikal

BATU KAWAN - Kadar kemalangan jalan raya di Pulau Pinang semakin membimbangkan apabila 80 peratus daripada kematian melibatkan penunggang motosikal.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan kemalangan perjalanan pekerja meningkat 54 peratus dalam tempoh 20 tahun, daripada 17,609 kes pada 2003 kepada 38,458 kes pada 2023.
Menurutnya, kajian Sistem Pengurusan Keselamatan Perjalanan (CAMS) pula mendedahkan 59 peratus kemalangan berlaku semasa perjalanan ke tempat kerja, manakala 41 peratus berlaku ketika pulang ke rumah.
"Selain itu, 68.8 peratus kemalangan melibatkan pekerja syif pagi, dan lebih separuh daripada insiden tersebut berlaku dalam jarak kurang lima kilometer dari tempat kerja.
"Trend ini menunjukkan perlunya pendekatan baharu dalam menangani keselamatan jalan raya," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Zairil berkata, kerajaan negeri menyokong inisiatif Universiti Sains Malaysia (USM) dan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dalam pembangunan sistem CAMS menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan komitmen dalam menjayakan program CAMS dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Program CAMS yang dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN).
Katanya, CAMS juga akan dijadikan sebagai salah satu inisiatif rasmi keselamatan jalan raya di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pulau Pinang.
"Projek CAMS merupakan satu inisiatif strategik yang menyokong aspirasi utama dalam Visi Pulau Pinang 2030, khususnya dalam meningkatkan kualiti hidup dengan mengurangkan kemalangan maut di jalan raya.
"Inisiatif ini juga selari dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022–2030 serta melengkapi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang berhasrat mengurangkan kemalangan, terutamanya melibatkan penunggang motosikal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!