Negeri Sembilan dalam proses bangunkan dua pusat data

SEREMBAN - Kerajaan negeri Sembilan kini dalam proses membangunkan dua pusat data di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pusat data tersebut iaitu pusat data hijau di Nilai dan pusat data teknologi kecerdasan buatan (AI) di Bandar Springhill, Port Dickson.
"Ia masing-masing dibangunkan oleh pelabur dari Amerika Syarikat dan Gamuda Berhad di mana urusan tanah telah selesai dan kerja-kerja tanah telah bermula.
"Faktor pemilihan Negeri Sembilan sebagai pusat data ini adalah berikutan lokasinya yang strategik, kedudukan geografinya berhampiran Lembah Klang yang merupakan pusat perindustrian dan perniagaan di negara ini," katanya pada Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Isnin.
Beliau berkata, Negeri Sembilan juga menawarkan jaringan lebuh raya yang baik serta memenuhi segala keperluan infrastruktur yang diperlukan oleh sesebuah pusat data iaitu bekalan tenaga elektrik yang tinggi dan kapasiti air yang mencukupi.
Tambahnya, pembangunan pusat data itu turut menyumbang pelbagai manfaat kepada warga tempatan termasuk membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi terutamanya dalam bidang teknologi maklumat.
"Ia turut menyumbang jumlah pelaburan yang tinggi serta peningkatan kutipan cukai di negeri ini.
"Bagaimanapun kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk mengkaji dengan lebih teliti sekiranya menerima sebarang cadangan projek pusat data baharu kerana bimbang akan keperluan air pusat data yang sangat tinggi," katanya.
Jelasnya, kajian terperinci perlu dilaksanakan demi memastikan kelestarian sumber bekalan air di Negeri Sembilan terjamin.
Kata Aminuddin lagi, kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak Gamuda dan mereka telah bersetuju untuk membina satu loji rawatan air baharu dengan kos sepenuhnya oleh pihak Gamuda dan Menteri Besar Negeri Sembilan (Perbadanan) MBI.
"Kos operasi pula akan diserahkan kepada pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) apabila loji tersebut siap kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!