Kelindan maut, tiga cedera nahas lima kenderaan

KULAI – Seorang kelindan lori maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 32.1, Lebuhraya Utara–Selatan arah selatan, di sini, pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku sekitar jam 7 pagi itu berpunca apabila sebuah lori jenis Hino dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kren yang sedang bergerak di lorong kiri.
“Akibat pelanggaran itu, lori terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dalam keadaan melintang dan menghalang laluan di lorong kiri.
“Kenderaan lain yang datang dari arah belakang termasuk dua lori dan sebuah motosikal gagal mengelak lalu merempuh lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kemalangan itu mengakibatkan kelindan lori Hino berusia 59 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk proses bedah siasat.
“Tiga lagi mangsa cedera, iaitu pemandu lori Hino berusia 29 tahun dan seorang lagi pemandu lori Hino berusia 37 tahun yang masing-masing cedera parah, manakala penunggang motosikal berumur 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
“Mereka menerima rawatan di hospital sama. Bagaimanapun, pemandu kren dan pemandu lori Nissan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!