[VIDEO] Petugas TH anjur bacaan Yasin, doa selamat mohon kelancaran operasi haji
MADINAH – Petugas Tabung Haji (TH) bagi musim 1446H/2025M mengambil peluang menganjurkan bacaan Yasin dan doa selamat di Ibu Pejabat TH di bangunan Roha Al-Madinah di sini.
Program diadakan selepas solat Maghrib pada Ahad itu dipimpin oleh Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin@Yusof.
Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah berkata, program tradisi sebelum bermula operasi haji di Tanah Suci dan di tanah air itu biasanya dihadiri semua petugas di Pusat Perkhidmatan Operasi (PPO) Madinah.
Beliau yang juga Naib Konsul Haji berharap urusan operasi haji musim ini berjalan lancar dan semua jemaah serta petugas diberi kesihatan yang baik sepanjang bertugas di Tanah Suci.

“Alhamdulilah sekarang ada lebih 60 petugas yang telah tiba dan bersedia untuk menyambut ketibaan atau kedatangan kumpulan jemaah haji Malaysia yang pertama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Kumpulan pertama jemaah Malaysia dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah sekitar jam 7.50 pagi (waktu Arab Saudi) pada Selasa.
Sepanjang berada di Madinah, TH telah merancang pelbagai program ibadat dan ziarah untuk jemaah haji Malaysia sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Makkah pada 4 Mei ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!