Bilik dobi Stadium Kenilworth Road terbakar tak jejas aksi Luton Town, Coventry City

Anggota bomba dan penyelamat Bedfordshire sedang bertungkus-lumus memadamkan api.
Anggota bomba dan penyelamat Bedfordshire sedang bertungkus-lumus memadamkan api.
A
A
A

SATU kebakaran kecil yang berlaku di bilik dobi Stadium Kenilworth Road, milik kelab bola sepak Luton Town, berjaya dikawal sepenuhnya dan tidak akan menjejaskan perlawanan penting menentang Coventry City yang dijadualkan berlangsung Sabtu.

Kelab Luton Town menjelaskan: “Asap dikesan berpunca daripada sebuah peralatan kecil yang terbakar di bilik dobi stadium.

“Kebakaran itu berjaya dikawal dan tidak merebak ke kawasan lain, sekali gus mengelakkan sebarang kerosakan besar.”

Perlawanan yang dijadualkan pada jam 12.30 tengah hari Sabtu menentang Coventry City amat penting buat kedua-dua pasukan dalam perebutan kedudukan di Liga Kejuaraan.

Kelab itu turut mengesahkan bahawa perlawanan akan diteruskan seperti dirancang.

Beberapa keping gambar yang tular di media sosial memaparkan anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan api dengan asap hitam tebal dilihat keluar dari bahagian dalam stadium tersebut.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Bedfordshire, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 8.08 malam waktu tempatan berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh kurang daripada dua jam.

“Pasukan penyelamat kekal berada di lokasi kejadian dan penutupan penuh jalan di Hatters Way masih berkuat kuasa buat sementara waktu,” menurut satu kenyataan rasmi.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, anggota bomba menggunakan alat pernafasan, platform udara, tangga setinggi sembilan meter dan dua gulung hos semasa operasi memadam api.

Luton Town telah berpindah ke Stadium Kenilworth Road, yang mesra dikenali sebagai 'The Kenny' dalam kalangan penyokong, sejak tahun 1905 dan kini mempunyai kapasiti sekitar 12,000 tempat duduk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!