Wanita ‘pancing’ pencuri guna pakaian dalam ibu

THAILAND - Berang dengan kejadian seluar dalam sering dicuri, seorang wanita di Wilayah Nonthaburi, Thailand, bertindak kreatif dengan menggunakan pakaian dalam ibunya untuk memerangkap pencuri pakaian dalam tersebut.
Kejadian berlaku di Daerah Sai Noi apabila Kanokwan Sri, 34, menyedari empat helai seluar dalamnya hilang daripada jemuran di luar rumah.
Menurut temu bualnya bersama wartawan tempatan, kejadian pertama berlaku pada jam 2.43 pagi, 17 April lalu dan dia hanya menyedari kehilangan itu selepas terlupa mengangkat jemuran.
“Saya langsung tiada apa untuk dipakai,” katanya.

Dalam pada itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki yang dipercayai berusia sekitar 35 tahun mencuri pakaian dalam tersebut, namun wajahnya tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.
Berazam untuk menangkap pencuri berkenaan, Kanokwan meminjam pakaian dalam ibunya yang berusia 56 tahun dan menggantungnya di jemuran sebagai umpan.
Taktiknya berhasil apabila lelaki tersebut kembali pada jam 4 pagi, 22 April lalu dan wajahnya berjaya dirakam dengan jelas menerusi CCTV.
Suspek didapati tinggal berhampiran kawasan rumah mangsa, sekali gus merungkai misteri kehilangan pakaian dalam yang berlaku sebelum ini.
Bagaimanapun, Kanokwan memilih untuk tidak membuat laporan polis, sebaliknya membawa perkara itu kepada ketua kampung dan meminta agar amaran keras diberikan kepada lelaki terbabit.
Menurut laporan Amarin TV, wanita itu cuma berharap tindakan berkenaan dapat menghalang pencuri tersebut daripada terus menyasarkan pakaian penduduk di kawasan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!