Suami terjerat hutang RM12,000 tergamak jual isteri di media sosial

BABAT - Seorang lelaki tergamak menjual isterinya melalui media sosial kerana terjerat hutang.
Pelaku dikenali sebagai AB, 26, dari Merakurak, Kabupaten Tuban, Jawa Timur di Indonesia manakala isterinya, SS, 27, amat patuh dengan 'perintah' suaminya demi untuk melangsaikan hutang berjumlah 40 juta rupiah (RM12,000).
Perbuatan mereka terbongkar selepas penduduk setempat berasa curiga dengan 'aktiviti' di sebuah rumah inap di Jalan Raya Babat-Bojonegoro, Desa Banaran, Kecamatan Babat di Kabupaten Lamongan.
Mereka kemudiannya membuat laporan kepada pihak berkuasa yang bertindak menyerbu lokasi tersebut pada malam awal minggu lalu.
"Komuniti di situ percaya adanya kegiatan tindak pidana perdagangan orang (TPPO). DA Homestay itu telah dijadikan tempat pelacuran," ujar jurucakap polis, AKBP Agus Dwi Suryanto.
Menurutnya, siasatan dilakukan mendapati AB menjual isterinya di Facebook sejak awal 2024.
"Dia mengaku wanita itu sudah 'dijual' sebanyak enam kali di daerah Lamongan, Surabaya dan Tuban dengan harga antara 1 juta rupiah (RM260) hingga 1.5 juta rupiah (RM389)," jelasnya lagi.
Ketika serbuan di lokasi tersebut, pihak berkuasa turut merampas sejumlah bahan bukti termasuk wang tunai 700,000 rupiah (RM181) dua buah telefon bimbit dan alat kontrasepsi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!