[VIDEO] Sinar Harian rangkul tempat pertama Anugerah Media SPRM 2024
KUALA LUMPUR – Sinar Harian terus mengungguli Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kali kelima apabila menang tempat pertama kategori Kandungan Media Sosial Terbaik pada Jumaat.
Karya dokumentari berjudul Tali Barut itu hasil kolaborasi wartawan Salmiah Druhamad Drashin, Mohamad Rizal Mohammed Rozy dan Nor Hafiza Md Shah dengan juruvideo Muhammad Hafiz Adnan dan Mohd Rafiq Redzuan Hamzah membawa pulang hadiah bernilai RM8,000, trofi serta sijil penghargaan.
Kemenangan tempat pertama video berdurasi 19 minit itu membolehkan Sinar Harian mengulangi kejayaan sama tahun lalu.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Ketua Pesuruhajaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, kemenangan ini menjadi inspirasi kepada karyawan di Sinar Harian untuk terus memaparkan berita-berita antirasuah terbaik untuk tatapan pembaca.
“Sebagai sebuah organisasi bebas dan tidak dimiliki oleh mana-mana entiti, Sinar Harian sentiasa menyokong SPRM dan kerajaan Malaysia untuk mengekang dan memerangi budaya rasuah di semua peringkat,” katanya.

Sementara itu, Salmiah berkata, beliau dan pasukannya amat bersyukur dengan kemenangan kali ini.
“Ini adalan pengiktirafan berterusan SPRM kepada pihak media terutamanya Sinar Harian dalam membuat laporan pemberitaan berkaitan anti rasuah.
“Kami akan teruskan komitmen ini dalam membuat pelbagai paparan menarik kepada pembaca dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.
Tempat kedua bagi kategori ini dimenangi New Straits Times dan tempat ketiga, Malaysia Gazette.
Dalam anugerah itu, SPRM turut mempertandingkan kategori Audio Visual Terbaik dan Penerbitan Artikel Terbaik.
Menurut Azam, Anugerah Media SPRM yang memasuki tahun kelima itu bertujuan mengiktiraf peranan media dalam menyampaikan maklumat berkaitan usaha pencegahan rasuah secara kreatif, berimpak dan dekat dengan masyarakat – khususnya menerusi medium digital dan media sosial.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pengamal media untuk menghasilkan laporan yang membina bagi mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!