Ibu bapa pilih sekolah harian, undian tertinggi di media sosial Sinar Harian

SHAH ALAM - Sekolah harian menjadi pilihan ibu bapa selepas sekolah itu merekodkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 setanding dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Berdasarkan kaji selidik di platform media sosial Sinar Harian, sebanyak 337 daripada 700 responden memilih untuk menghantar atau mengekalkan anak-anak mereka di sekolah harian.
Setakat jam 5 petang Jumaat, kaji selidik di Instagram merekodkan 53 peratus responden memilih sekolah harian diikuti dengan SBP (33 peratus) dan MRSM (15 peratus).
Di aplikasi X, 54 peratus responden memilih sekolah harian manakala SBP (34 peratus) dan MRSM (11 peratus).

Kaji selidik di Facebook pula merekodkan 66 peratus responden memilih sekolah harian diikuti dengan SBP (lapan peratus) dan MRSM (25 peratus).
Seorang pengguna Instagram, Anir_zs berkata, keputusan menukarkan anak dari SBP ke sekolah harian tidak mendatangkan kekesalan buat dirinya.
"Alhamdulillah anak saya dari SBP, tukar balik ke sekolah harian. Sejak di sekolah harian, pencapaian semakin baik.
"Anak saya dapat 9A dalam peperiksaan SPM 2024. Semoga terus cemerlang buat anak, Aqilah Hannani," katanya.
Sitizanariah69 juga berkongsi kejayaan anaknya yang memperoleh keputusan cemerlang walaupun belajar di sekolah harian biasa.
“Alhamdulillah... anakanda saya berjaya peroleh 7A, 1B di sekolah harian biasa, yang penting usaha pelajar,” tulisnya.
Farahnooraina pula berkata, dia tetap meyakini sistem pembelajaran di sekolah harian walaupun sebelum ini SBP dan MRSM merekodkan kejayaan dalam peperiksaan SPM setiap tahun.
“Insya-ALLAH saya pilih sekolah harian, sebab saya pun salah satu keluaran sekolah harian dan tetap boleh skor dalam SPM,” katanya.
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang dikeluarkan pada Khamis mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013 apabila seramai 14,179 calon atau 3.7 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus berbanding 11,713 calon pada 2023.
Azman juga menegaskan, pencapaian sekolah harian kini juga amat membanggakan malah setanding SBP dan MRSM.
Jelasnya, faktor kejayaan itu berkait rapat dengan pemerkasaan guru melalui latihan berimpak tinggi selain pengukuhan pengurusan akademik sekolah serta pendekatan pemantauan berasaskan data.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
