Puteri Nur Ain Zulaikha hadiahkan 9A buat keluarga angkat

Puteri Nur Ain Zulaikha (tengah) menerima ciuman daripada keluarga angkatnya. FOTO: SINAR HARIAN
Puteri Nur Ain Zulaikha (tengah) menerima ciuman daripada keluarga angkatnya. FOTO: SINAR HARIAN
A
A
A

TANAH MERAH - Ketabahan seorang gadis mengharungi kesengsaraan hidup dengan menumpang kasih bersama keluarga angkat yang sudah empat kali bertukar berbalas dengan kejayaan manis apabila meraih 9A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Puteri Nur Ain Zulaikha Abdullah, 18, berkata, pencapaian luar jangka itu adalah hadiah buat keluarga angkat yang membesarkannya sejak bayi dengan penuh pengorbanan dan kasih sayang.

Puteri Nur Ain Zulaikha (tiga dari kanan) yang menunjukkan keputusan SPM kepada keluarga angkatnya. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Puteri Nur Ain Zulaikha (tiga dari kanan) yang menunjukkan keputusan SPM kepada keluarga angkatnya. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Bapa angkatnya yang asal meninggal dunia pada 2017 dan dia selepas itu dijaga oleh nenek angkat sebelum kemudiannya dijaga pula oleh bapa saudara angkat yang hidup susah.

Akibat kesempitan hidup itu, dia seterusnya tinggal bersama abang angkat, Mohamad Airul Roslam, 35, (penjual ikan) dan isteri lelaki itu, Nur Fatihah Saad, 26, serta enam anak lelaki mereka, sejak lima tahun lalu.

“Saya tahu saya menumpang dalam keluarga besar dan susah tetapi saya tak pernah rasa terpinggir.

“Saya mahu buktikan bahawa kasih sayang yang mereka beri tidak sia-sia dan keputusan cemerlang ini akan dapat mengubah nasib bagi membalas semua jasa mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan kepada pelajar cemerlang B40 di Perumahan Kusial Baru di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Puteri Nur Ain Zulaikha (tengah) menerima sumbangan yang disampaikan Wan Rakemi. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Puteri Nur Ain Zulaikha (tengah) menerima sumbangan yang disampaikan Wan Rakemi. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan Mara negeri Kelantan, Mohd Norwawi Ibrahim dan Ketua UMNO Tanah Merah, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.

Puteri Nur Ain Zulaikha memperoleh A dalam subjek Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah, A bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia serta 1A Biologi.

Puteri Nur Ain Zulaikha memperoleh keputusan cemerlang 9A. FOTO: SINAR HARIAN
Puteri Nur Ain Zulaikha memperoleh keputusan cemerlang 9A. FOTO: SINAR HARIAN

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Chepa itu berkata, keputusan tersebut melebihi jangkaan kerana pada ujian percubaan sebelum ini dia hanya memperoleh 4A dan menyasarkan 7A sahaja untuk SPM.

“Saya jadi lebih semangat belajar selepas membaca sebuah komik fizik dan dari situ saya mula minat dan serta pulun belajar.

“Sebulan sebelum peperiksaan, saya korbankan masa tidur dan hanya rehat tiga jam sehari,” katanya.

FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Puteri Nur Ain Zulaikha juga tidak menafikan pernah rasa rendah diri dengan pandangan orang terhadap statusnya sebagai anak angkat.

Ada yang memperlekeh dan mempersoalkan kemampuannya untuk berjaya dalam pelajaran.

“Saya sedih, tapi saya terima dan jadikan semua itu pembakar semangat.

“Saya buat solat hajat dan doa kepada Allah, kalau bukan semua A, cukuplah berikan saya kegembiraan dengan keputusan yang membanggakan,” ujarnya.

Katanya, dia kini memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang fizik, dengan Jepun menjadi negara pilihan utama.

“Saya pernah ragu-ragu sebab kekangan kewangan. Tapi lepas dapat tawaran program pelajar cemerlang, saya yakin untuk teruskan cita-cita.

“Kalau saya berjaya nanti, saya takkan lupa keluarga angkat saya. Saya akan bantu mereka semula, itu janji saya,” katanya.

Dalam pada itu, Puteri Nur Ain Zulaikha yang berpeluang bercakap terus dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui panggilan telefon, sekali lagi menerima berita gembira apabila Mara bersetuju menanggung sepenuhnya kos lanjutan pengajian termasuk jika ditawarkan ke luar negara.

Kata beliau, Puteri Nur Ain Zulaikha juga dijemput dalam sesi pertemuan khas Asyraf Wajdi dengan semua pelajar cemerlang di bawah bantuan kewangan pendidikan (BUDI) Mara di Kuala Lumpur dua minggu lagi.

“Tiket penerbangan akan diuruskan sebagai pengalaman pertama buat pelajar berkenaan dan perbincangan lanjut hala tuju lanjutan pengajian akan dibincangkan dalam pertemuan itu.

“Saya lihat semangat dan potensi besar yang ada pada Ain, jadi Mara sedia membantu merealisasikan impian Ain selain Ain diminta bersedia jika ditawarkan belajar luar negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!