Pelajar maut motosikal bergesel dalam nahas empat kenderaan

Motosikal mangsa dipercayai dirempuh sebuah motosikal lain dari arah kiri dalam kemalangan pada petang Khamis. Gambar kanan: Mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Pulau Pinang, namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat.
Motosikal mangsa dipercayai dirempuh sebuah motosikal lain dari arah kiri dalam kemalangan pada petang Khamis. Gambar kanan: Mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Pulau Pinang, namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat.
A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Masjid Negeri, di sini pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.15 petang, mangsa dari sekolah di Batu Lanchang dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Gelugor.

“Motosikal mangsa dipercayai dirempuh dari arah kiri oleh sebuah motosikal lain, menyebabkan kenderaannya hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kereta di sebelah kanan.

“Mangsa kemudian terjatuh ke laluan kiri sebelum dirempuh sebuah lori,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, mMangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.09 petang.

"Bagaimanapun pemandu lori dan kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis telah mengenal pasti penunggang motosikal yang dipercayai menjadi punca nahas dan akan menahannya dalam masa terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut atau menghubungi balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!