74 petugas haji selamat tiba di Madinah

MADINAH - Seramai 74 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk 14 wakil media bagi musim haji 1446Hijrah/2025M selamat tiba di Madinah sekitar jam 8.10 malam Khamis waktu tempatan (1 pagi Jumaat waktu Malaysia).
Sebaik sampai di Lapangan terbang antarabangsa Prince Mohammad bin Abdul Aziz mereka dibawa ke tempat penginapan di Roha Al Madinah.
Kumpulan petugas terdiri daripada 74 individu termasuk pengamal media, petugas kebajikan dan petugas teknologi maklumat akan berada di Madinah selama lapan hari sehingga 2 Mei 2025 sebelum memasuki Makkah.
Petugas haji berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan 632 petugas yang digerakkan ke Arab Saudi secara berperingkat bermula Khamis bagi membuat persiapan awal operasi haji pada musim ini.
Turut dibawa stok makanan bahan kering termasuk kicap, bihun, belacan dan sos cili bagi kegunaan tukang masak di sini menyediakan hidangan dengan citarasa Malaysia kepada petugas sepanjang berada di tanah suci.
TH menempatkan petugas haji di tanah suci secara menyeluruh merangkumi pelbagai sektor termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan sebagainya.
Terdapat dua kumpulan petugas utama bagi musim haji tahun ini iaitu 358 Petugas Rombongan Kebajikan dan 274 Petugas Rombongan Perubatan.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci dijadualkan bermula 29 April manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun depan, dengan hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada Khamis, 5 Jun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

