GE2025: Kempen sengit sudah bermula

Penyokong Parti Tindakan Rakyat (PAP) berhimpun dan bersorak menyokong calon parti itu di luar pusat pencalonan.
Penyokong Parti Tindakan Rakyat (PAP) berhimpun dan bersorak menyokong calon parti itu di luar pusat pencalonan.
A
A
A

SINGAPURA - Kempen Pilihan Raya Umum Singapura (GE2025) sudah pun bermula selepas Hari Penamaan Calon pada Rabu yang penuh kejutan kerana gerakan taktikal pada saat akhir yang dilancarkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan kemenangan percuma pertama diraih mereka sejak 2011.

Parti pemerintah itu menggerakkan beberapa 'orang kuat' mereka hingga mencetuskan teka-teki kepada parti pembangkang tentang pencalonan Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat dan Menteri Kanan, Teo Chee Hean.

Persoalan itu akhirnya terjawab apabila kedua-duanya diumumkan tidak akan bertanding setelah memutuskan untuk bersara daripada politik.

PAP mengumumkan pencalonan beberapa menteri heavyweight termasuk Timbalan Perdana Menteri, Gan Kim Yong di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Punggol yang dijangka menjadi salah satu medan pertempuran pilihan raya paling sengit pada kali ini.

Parti pembangkang utama, Parti Pekerja (WP) juga membuat langkah di luar jangkaan apabila menamakan bekas Ahli Parlimen (MP) GRC Aljunied, Faisal Manap untuk mengetuai pasukan GRC Tampines yang berdepan persaingan empat penjuru.

Selain itu, wajah baharu WP, Hapreet Singh Nehal diletakkan di GRC Punggol manakala bekas MP Tanpa Kawasan Undi, Yee Jenn Jong akan mengetuai kempen di GRC East Coast.

WP juga membuat keputusan mengejut apabila tidak akan bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights, sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada PAP.

“Ia adalah strategi kami untuk GE2025. Kami akan terus berkhidmat di GRC Marine Parade-Braddell Heights selepas pilihan raya berakhir,” kata Singh.

Singapura bakal menyaksikan 92 daripada 97 kerusi dipertandingkan pada GE2025 yang berlangsung pada 3 Mei depan.

Artikel Berkaitan:

Lawrence Wong (dua kanan) ketika berucap di hadapan penyokong PAP sejurus Hari Penamaan Calon selesai pada Rabu.
Lawrence Wong (dua kanan) ketika berucap di hadapan penyokong PAP sejurus Hari Penamaan Calon selesai pada Rabu.

Perdana Menteri, Lawrence Wong yang juga Setiausaha Agung PAP berkata, beliau menjangkakan pemilihan agak panas pada kali ini.

“Strategi pembangkang lebih tersusun berbanding sebelum ini. Selain satu kemenangan percuma, kawasan lain pastinya akan menyaksikan persaingan di luar jangka,” ujarnya.

Pada GE2020, PAP memenangi 61.23 peratus undi popular dan berjaya mengekalkan kuasa memerintah dengan meraih 83 daripada 93 kerusi yang dipertandingkan.

Namun, ia kehilangan GRC kedua iaitu Sengkang kepada WP.

Pertempuran sengit

Seramai 211 calon mengemukakan kertas pencalonan mereka dengan PAP menjadi satu-satunya parti yang meletakkan calon untuk kesemua 97 kerusi di 33 kawasan pilihan raya.

Pesaing terbesar mereka, WP pula cuba merebut 26 kerusi di lima GRC dan tiga kerusi tunggal.

Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang bertanding jumlah kerusi terbesar di bawah puak pembangkang pada GE2020 meletakkan kontinjen yang dikurangkan kepada 13 calon di kawasan pilihan raya yang mana empat daripadanya ialah kerusi tunggal.

Susulan persaraan Swee Keat, GRC East Coast akan diketuai Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Edwin Tong untuk bersaing dengan WP.

Pada 2020, PAP yang dipimpin Swee Keat memenangi kawasan pilihan raya itu dengan 53.39 peratus undi.

Dua anggota pasukan PAP yang bertanding di GRC East Coast sebelum ini, Maliki Osman dan Cheryl Chan juga mengumumkan keputusan mahu berundur daripada politik.

Di barat Singapura, pertempuran yang diramalkan sengit adalah di GRC West Coast-Jurong West.

Pasukan A PSP termasuk tiga pemimpin utama mereka, Dr Tan Cheng Bock, Leong Mun Wai dan Hazel Poa akan bertanding semula untuk bersaing dengan Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee.

Wakil Parti Pekerja (WP) sudah mula menggantung poster calon mereka.
Wakil Parti Pekerja (WP) sudah mula menggantung poster calon mereka.

Pada kali ini, kira-kira 2.76 juta pengundi berdaftar layak menunaikan kewajipan mereka bersama lebih 18,000 warga Singapura yang mengundi di luar negara.

Kesemua calon bertanding dibenarkan untuk berkempen selama sembilan hari sehingga Hari Bertenang pada 2 Mei depan. - Agensi

Info:

>Sebanyak 92 daripada 97 kerusi akan jadi rebutan.

>Terdapat lima persaingan berbilang penjuru yang merupakan jumlah paling banyak sejak GE1991 yang merekodkan angka serupa.

>Sebanyak empat parti akan bertanding di GRC Tampines, kali terakhir persaingan empat penjuru adalah pada GE1997.

>Terdapat dua calon bebas di Kawasan Pilihan Raya Ahli Tunggal (SMC) Radin Mas dan SMC Mountbatten.

>PAP meraih kemenangan percuma di GRC Marine Parade-Braddell Heights yang pertama sejak GE2011.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!