Zahid kemuka calon Ketua Menteri Melaka daripada ADUN BN

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa sidang media di Ayer Keroh di sini, hari ini. Foto: BERNAMA
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa sidang media di Ayer Keroh di sini, hari ini. Foto: BERNAMA
A
A
A

MELAKA - Calon untuk Ketua Menteri Melaka yang baharu mengambil kira kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka daripada Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, beliau telah menyampaikan hasrat itu kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada pertemuan pagi ini dan pihaknya akan patuh terhadap apa sahaja keputusan yang dibuat Mohd Khalil selepas ini.

"Kami bincangkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik di Melaka. Keputusan muktamad Tuan Yang Terutama (TYT) (Mohd Khalil) dibuat berdasarkan cadangan-cadangan dikemukakan maka sebarang keputusan yang dibuat berdasarkan kuasa yang ada pada beliau akan kami hormati.

"Kita faham bahawa mungkin ada surat telah sampai kepada TYT negeri Melaka untuk menentukan siapakah dicalonkan pihak berkenaan maka kita dalam UMNO BN akan menghormati sebarang keputusan muktamad yang akan dibuat oleh TYT," katanya pada sidang media di Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada Isnin lepas (2 Mac) dilaporkan Mohd Khalil telah mendapat representasi bahawa Ketua Menteri Adly Zahari tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka, sehubungan itu Mohd Khalil akan melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri yang baharu dalam masa terdekat.

Terdahulu Ahmad Zahid mengadakan mesyuarat tertutup dengan 15 ADUN terdiri daripada semua 13 ADUN BN; dan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR) serta ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP).

Bagaimanapun, dua ADUN daripada Bersatu iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) yang dilaporkan sebelum ini menyokong Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan negeri Melaka tidak kelihatan pada mesyuarat itu.

Ahmad Zahid berkata, adalah di luar pengetahuan dirinya sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO sebarang cadangan untuk menamakan calon Ketua Menteri dalam kalangan ADUN selain BN di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Dengan kebijaksanaan TYT serta pandangan luas beliau sebagai seorang bekas diplomat, ahli politik sudah tentu beliau akan buat keputusan paling bijak bagi Melaka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menerima keputusan untuk membubarkan DUN Melaka sekiranya itu keputusan muktamad dibuat Mohd Khalil.

Ditanya mengenai dua ADUN Bersatu yang tidak hadir pada mesyuarat tertutup itu, Ahmad Zahid berkata, perjumpaan petang ini adalah bersama 13 ADUN BN sahaja namun pihaknya tidak pernah menutup pintu kepada ADUN daripada parti lain menghadiri mesyuarat itu.

Menjawab soalan apa yang akan dilakukan BN dan UMNO sekiranya Mohd Khalil memilih calon selain daripada ADUN BN, beliau berkata: "jangan buat sebarang andaian di sini". - Bernama