'Keputusan pemilihan cabang PKR tak pinggir orang lama' - Muhammad Kamil

Muhammad Kamil (tengah) melawat seorang penduduk ketika program Ziarah Kasih Madani di Kampung Tanah Pinggir pada Khamis.
Muhammad Kamil (tengah) melawat seorang penduduk ketika program Ziarah Kasih Madani di Kampung Tanah Pinggir pada Khamis.
A
A
A

TAPAH – Keputusan pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didominasi anak muda baru-baru ini tidak bermaksud meminggirkan sumbangan pemimpin lama.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebaliknya situasi itu mencerminkan aspirasi akar umbi yang mahukan barisan kepimpinan muda yang lebih aktif dan progresif.

Menurutnya, corak kepimpinan dalam parti itu sememangnya memberi ruang luas kepada anak muda untuk terus menyumbang dalam barisan utama.

“Sebenarnya ini bukan perkara baru dalam PKR. Kalau kita lihat struktur kepimpinan, dari timbalan presiden ke bawah, rata-rata berada dalam lingkungan umur 35 hingga 40 tahun ke atas.

“PKR memang meraikan dan mahukan kepimpinan muda terus berada dalam barisan utama. Ini diterjemahkan dalam bentuk pemilihan parti dan kita terima ia sebagai suara serta kehendak akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Ziarah Kasih Madani di Kampung Tanah Pinggir di sini pada Khamis.

Menurutnya, mesej jelas yang diterima daripada para anggota menunjukkan keinginan untuk melihat jentera parti digerakkan oleh pemimpin lebih cergas dan terkehadapan.

“Bukan kita menidakkan jasa dan sumbangan pemimpin lama, tetapi untuk menggerakkan organisasi di bawah, mungkin anggota berpendapat ia memerlukan pimpinan muda yang lebih terkehadapan,” ujarnya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Muhammad Kamil berkata, AMK sudah mengenal pasti kelompok pengundi luar untuk dirayu balik mengundi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, adalah penting untuk meyakinkan mereka bahawa PRK bukan hanya sekadar pilihan pilihan raya biasa tetapi merupakan ruang untuk kita menunjukkan sikap dan pendirian anak muda terhadap isu semasa.

"Paling penting sekali ialah kita gunakan ruang dan juga kesempatan ini untuk tunjuk bahawa kita menolak sebarang bentuk politik yang menyemai kebencian, politik huru-hara, politik maki hina orang.

"Kita tak nak lagi ruang ini dijadikan untuk memecahbelahkan ukhuwah dan juga kekuatan satu kesatuan di kalangan kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!