Israel bedil sekolah di Gaza, 10 kanak-kanak terbunuh

Penduduk Palestin kerosakan di bangunan Sekolah Yafa yang menjadi sasaran tentera Israel di Gaza City. - AFP
Penduduk Palestin kerosakan di bangunan Sekolah Yafa yang menjadi sasaran tentera Israel di Gaza City. - AFP
A
A
A

GAZA CITY - Sekurang-kurangnya 10 individu termasuk seorang kanak-kanak maut dalam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan penduduk Palestin yang dipindahkan secara paksa di Gaza City, awal pagi Rabu, lapor Al-Jazeera.

Pasukan Pertahanan Awam Palestin memaklumkan anggota kecemasan menemukan 10 mayat selepas serangan tersebut yang turut menyebabkan kebakaran besar di sekolah berkenaan.

Ramai mangsa turut dilaporkan cedera.

“Mereka dibakar hidup-hidup ketika tidur di dalam khemah pelarian,” kata wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif di media sosial, menyifatkan serangan itu sebagai bukti tiada lagi kawasan selamat lagi di Gaza.

“Tiada yang terselamat daripada genosid ini,” katanya lagi sambil menambah kawasan Gaza City dan bahagian utara disasarkan tembakan meriam serta serangan udara selama berjam-jam.

Rakaman video selepas kejadian memaparkan api marak membakar struktur khemah, kain kanvas cair dan melekat pada rangka katil serta kerusi yang rentung.

Dalam satu kenyataan, Pertahanan Awam turut merayu campur tangan segera Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dua buah rumah di kawasan kejiranan Tuffah.

“Ramai mangsa terperangkap menjerit minta tolong dari bawah runtuhan namun anggota kami tidak dapat masuk kerana kawasan itu diklasifikasi sebagai ‘zon larangan’ oleh tentera Israel,” katanya.

Media tempatan Palestin dan Al Jazeera Arabic turut melaporkan seorang kanak-kanak antara dua individu yang terbunuh dalam serangan di khemah pelarian di kem Jabalia, utara Gaza pada pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi maut dan beberapa cedera dalam serangan dron Israel ke atas khemah pelarian di zon ‘selamat’ al-Mawasi, selatan Khan Yunis.

Serangan artileri dan serangan udara turut dilaporkan di seluruh Genting Gaza sejak awal pagi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!