Kritikan sambutan Aidilfitri secara mewah perlu dirujuk kepada KKM - Fahmi

PUTRAJAYA - Kritikan terhadap penganjuran sambutan Aidilfitri secara mewah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang turut melibatkan kehadiran artis terkenal, perlu dirujuk terus kepada kementerian berkenaan untuk penjelasan lanjut.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, beliau tidak mengetahui mengenai penganjuran acara itu malah tidak menerima jemputan.
"Untuk itu saya tiada maklumat dan perlu dirujuk kepada KKM sendiri," katanya dalam sidang akhbar mingguan selepas mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, berdasarkan pengalamannya tahun lalu, artis yang diundang ke majlis kementeriannya sama ada tidak mengenakan bayaran atau menerima bayaran pada kadar yang rendah.
"Tahun ini kami memanfaatkan artis veteran dan beberapa yang lain," jelasnya.
Beliau berkata demikian mengulas kritikan orang awam terhadap penganjuran sambutan Aidilfitri KKM pada Selasa, yang dikatakan berlangsung dalam suasana mewah dan melibatkan persembahan artis popular.
Antara artis yang membuat persembahan pada majlis berkenaan termasuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan Datuk Jamal Abdillah.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Ketua Lajnah Kesihatan Pas, Muhammad Fakhruddin, yang menyuarakan simpati terhadap ribuan warga kerja KKM yang saban hari bergelut dengan beban tugas, fasiliti serba kekurangan serta ketidakpastian masa depan.
Tinjauan di laman rasmi Facebook KKM dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, turut mendapati ruangan komentar dibanjiri kritikan daripada warga maya yang mempersoalkan kewajaran penganjuran majlis tersebut dalam keadaan semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

